Mesyuarat MKT Umno, tak sentuh isu Shahidan - pakdin.my

Isu pelantikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, hari ini.

Perkara itu disahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui media selepas beliau menghadiri mesyuarat tertutup itu di Ibu Pejabat Umno Malaysia, Menara Dato’ Onn, di sini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno menjelaskan pengguguran dan pelantikan jawatan itu adalah hak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berikut antara petikan soal jawab wartawan bersama Tajuddin:

Wartawan: Ada sentuh dalam mesyuarat MKT Umno isu di Perlis, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan? (lantik Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man sebagai pengganti).

Tajuddin: Tidak berbangkit dan tidak ada seorang pun yang membangkitkan perkara itu. Itu hak Presiden. Siapa berani bangkitkan? Berani lawan Presiden?

Terdahulu, Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu menggantikan Shahidan selaku Ahli Parlimen Arau dan ia terkandung dalam satu kenyataan media ringkas Ahmad Zahid semalam.

Portal MyMetro hari ini melaporkan kemelut pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis belum ada noktah apabila Umno Bahagian Arau dan Padang Besar menolak Azlan sebagai pengganti.

Dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kangar, Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau Salim Dahaman dilaporkan berkata, pihaknya sukar untuk bekerjasama dengan Azlan yang didakwa tiada usaha atau bantuan untuk memperkasakan Umno Perlis.

“Jika beliau (Azlan) awal-awal lagi di saat sebagai Menteri Besar selama dua penggal sudah menjalin kerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis terdahulu (Shahidan), kami boleh terima,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak ketika ditanya mengenai rakaman audio tular yang didakwa perbualan antara Presiden Umno dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan tiada perbincangan dilakukan dalam mesyuarat MKT mengenai perkara itu.

UTAMAPOLITIKMesyuarat MKT Umno, tak sentuh isu Shahidan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium