Cerita mengenai konflik di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) sememangnya tidak dapat disangkal lagi oleh pimpinan-pimpinan mereka. Walaupun acapkali Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang mahupun Hadi Awang cuba ‘berfantasi’ dengan menunjukkan kemesraan di antara mereka, namun realitinya kita dapat lihat betapa konflik yang wujud itu sebenarnya sudah melangkaui tahap kritikal.
Manifestasinya adalah apabila sehingga kini pun, pertikaian berhubung pembahagian kerusi antara mereka masih wujud di mana mereka sendiri tidak menolak kebarangkalian untuk berlakunya pertarungan tiga penjuru di sesetengah kerusi. Tikam-menikam yang berlaku di Johor juga menguatkan lagi andaian betapa huru-haranya keadaan yang bakal wujud sekiranya mereka ditakdirkan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
Lihat sahaja bagaimana Pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng yang berhempas pulas mengangkat taraf PKR di negeri tersebut ‘diliwat’ oleh Kit Siang dan pimpinan DAP negeri. Sudahlah kerusi Gelang Patah yang diidamkan terpaksa dikorban, setelah diumumkan menjadi calon di Segamat, kena bantah lagi dengan DAP..Betapa bijak kita dapat lihat permainan DAP ini..Tak keterlaluan dikatakan PKR terutamanya Anwar, sudah kena ‘game’ dengan DAP.
Dua perkara tersebut sekadar gambaran betapa krisis di dalam Pakatan itu sangat kritikal sebenarnya. Menambahkan lagi parah parti-parti ini, krisis yang melanda sebenarnya bukan sekadar di kalangan tiga parti tersebut, bahkan konflik dalaman parti masing-masing juga tidak kurang hebatnya. Makanya, kalau dah sesama anggota parti pun berantakan, tak hairanlah jika suasana yang sama juga berlaku di antara ketiga-tiga parti ini.
Antara keretakan dalaman yang paling panas sekali dapat kita lihat adalah yang melibatkan pimpinan PAS Kedah iaitu di antara Menteri Besar, Azizan Razak dengan Exco kerajaan negeri, Phahrolrazi. Peperangan di antara puak penyokong Phahrolrazi dan Azizan Razak dikatakan sejak kebelakangan ini sudah semakin terbuka..sudah tiada rahsia lagi.
Dikhabarkan, selain daripada 11 kawasan kuat PAS yang membantah kedudukan Azizan sebagai Pesuruhjaya PAS negeri, bilik-bilik gerakan di luar kawasan kuat ini seperti Langkawi, Kuala Kedah dan Baling juga telah ditutup bagi menunjukkan protes terhadap beliau dan meminta agar PAS pusat segera campur tangan menanganinya sekiranya mahu mengelakkan jentera parti di kawasan-kawasan tersebut lumpuh pada pilihanraya nanti. Ia seterusnya akan menjejaskan usaha mereka untuk mempertahankan kuasa sebagai pentadbir negeri jelapang padi itu.
Memburukkan lagi keadaan apabila puak-puak yang menyokong Phahrol yang tidak sedar diri dan perasan bagus dengan mengisytiharkan dirinya bersedia menjadi Menteri Besar itu, dikatakan telah memulakan pemberontakan mereka terhadap Azizan. Difahamkan, ‘puak taksub Phahrol’ telah memacakkan bendera PAS berwarna hitam, bukan yang tradisinya berwarna hijau, sebagai tanda protes mereka terhadap kepimpinan Azizan. Malah difahamkan juga, di mana sahaja terdapatnya bendera PAS berwarna hitam, di situ juga terpampangnya kain rentang menolak Azizan sebagai Menteri Besar.
Berdasarkan maklumat sumber, situasi tersebut boleh dilihat di kawasan Sungai Limau dan sekitar parlimen Jerai di mana di kawasan tersebut terdapat banyak kain rentang dan bendera hitam PAS dinaikan. Malah puak pemberontak ini dikatakan akan memasang lebih banyak lagi bendera dank ain rentang di kawasan lain. Malah keadaan yang sama turut dapat dilihat di Baling.
Justeru, melihatkan keadaan ini persoalan yang timbul adalah bagaimana ia akan ditangani oleh pemimpin PAS Pusat? Tindakan bijak harus disegerakan atau risikonya adalah mereka akan kehilangan kuasa di negeri Kedah. Sesuatu yang pastinya tidak diingini mereka daripada berlaku.
Apapun cerita konflik PAS di Kedah ini hanya sekelumit bingkisan daripada puluhan, bahkan tidak keterlaluan dikatakan ratusan konflik dalaman yang cuba dinafikan pimpinan tertinggi Pakatan. Ini belum diselitkan lagi mengenai konflik dalaman DAP Johor yang menolak campur tangan ‘Lim Dynasty’ di negeri tersebut. Juga, jangan dilupa mengenai ahli Parlimen PKR yang ‘berhijrah’ beramai-ramai meninggalkan parti itu sedikit waktu dulu.
Keadaan ini nyata berbeza dengan harmoni yang wujud di dalam Barisan Nasional. Hubungan yang wujud di antara parti-parti komponen dilihat begitu jitu sekali di mana kesepakatan yang sejati telah benar-benar ditonjolkan. Perselisihan yang timbul diselesaikan secara profesional dengan tidak ada isu berbangkit selepas itu. Tidak seperti Pakatan yang mana boleh dikatakan hanya pimpinan tertingginya sahaja yang syok sendiri kononnya mencapai kata persetujuan sedangkan di peringkat akar umbi terus bercakaran.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah keadaannya kini boleh dikatakan sudah terbalik..Umno dan komponen lain BN yang dahulunya didakwa pembangkang sebagai terkenal dengan sikap tikam belakangnya, kini dilihat lebih bersatu padu berkat daripada dasar transformasi janaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Manakala di peringkat Pakatan pula, sejak ‘tsunami suam-suam kuku’ melanda landskap politik negara pada 2008, majoriti pemimpin mereka dari peringkat tertinggi hingga ke sekecik-kecik anak sudah dikuasai dengan sifat gila kuasa. Buruan utama mereka ketika ini hanyalah mahukan kuasa. Sejak 2008, hampir kesemua mereka ini ‘perasan’ yang diri mereka layak untuk bergelar YB..Lantas tidak hairan mengapa kini bunga-bunga tsunami bakal melanda mereka pula sudah kelihatan…