Imam Besar Makkah puji usaha martabatkan Islam - pakdin.my

PUTRAJAYA: Imam Besar Masjidil Haram, Dr Abdul Rahman Assudais, memuji usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan agama Islam dan sentiasa berlaku adil kepada penganut agama lain di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu dinyatakan Abdul Rahman ketika mengadakan pertemuan dengannya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, semalam.

“Beliau juga berharap kita akan sentiasa beristiqamah dalam kepemimpinan dan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat yang ada di Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kunjungan beliau (Abdul Rahman) ke sini bagi memenuhi jemputan kerajaan sememangnya satu sejarah dan sudah lama dinantikan rakyat Malaysia, terutama mereka yang pernah mendengar bacaan al-Quran ketika mengimamkan solat jemaah di Makkah,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjidil Haram itu di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata Abdul Rahman juga dijangka melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.

Beliau juga dijadual menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur manakala pada sebelah malam akan menyampaikan ceramah di Masjid Kampung Baru.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji Arab Saudi pada Mei ini bagi membincangkan pelbagai isu termasuk permohonan Malaysia untuk menambahkan kuota haji.

Beliau berkata, antara isu lain yang dijangka disentuh dalam pertemuan dengan Menteri Haji Arab Saudi itu nanti adalah soal pengurusan, kemudahan pengangkutan dan syarat penginapan baru bagi jemaah haji musim ini.

“Walaupun Kerajaan Arab Saudi dijangka mengekalkan kuota haji lama kepada Malaysia, kita tetap akan menghantar permohonan menambah bilangannya bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menunai haji tahun ini.

“Selain isu kuota, kita juga akan membincangkan mengenai pengurusan jemaah haji. Ini penting kerana Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa setiap jemaah musim haji kali ini perlu mempunyai ruang sekurang-kurang empat meter persegi dalam bilik penginapan atau hotel untuk membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa,” katanya.

Permohonan Malaysia menambah kuota haji itu berasaskan ketetapan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), yang mana kuota jemaah haji bagi setiap negara Islam ialah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Bagaimanapun, pada musim haji lalu, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan Malaysia menghantar 26,000 jemaah haji meskipun bilangan penduduk Islam di sini kini memcecah 27 juta orang.

Pada masa sama, Jamil Khir berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kos untuk menunaikan haji kali ini kekal pada harga RM9,980 bagi setiap jemaah.

UTAMABERITAImam Besar Makkah puji usaha martabatkan Islam

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium