30.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 30, 2020

Muktamar Tahunan PAS: Bahana keghairahan Pas

 

Golongan pro ulama perlu bersedia untuk berhadapan dengan perubahan hala tuju politik yang bakal dibawa oleh golongan profesional ke dalam Pas.
Golongan pro ulama perlu bersedia untuk berhadapan dengan perubahan hala tuju politik yang bakal dibawa oleh golongan profesional ke dalam Pas.

MENANG sorak kampung tergadai’, ‘Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ dan bersedialah untuk melupakan kepimpinan ulama serta perjuangan negara Islam.’’

Mungkin itulah yang boleh dikatakan kepada kumpulan pro ulama apabila muktamar tahunan parti itu berakhir hari ini.

Keputusan pemilihan yang diumumkan semalam menyaksikan golongan pro ulama bakal menjadi pengikut sahaja kepada golongan profesional yang menguasai sebahagian besar jawatan yang dipertandingkan.

Ulama turut kehilangan kerusi Timbalan Presiden yang dikuasai sejak tahun 1981 dan tidak mempunyai seorang pun wakil bagi kerusi Naib Presiden manakala bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat hanya ada lapan sahaja wakil mereka di dalamnya berbanding 18 kerusi yang dipertandingkan. Walaupun ketika Muktamar Pemuda di Shah Alam pada Khamis lalu memastikan golongan ulama terus menguasai Dewan tersebut tetapi arus tersebut tidak sampai ke muktamar induk di Gombak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan seorang ulama kini harus bersedia menghadapi cabaran daripada golongan profesional yang sudah tentulah mempunyai suara majoriti bagi menentukan hala tuju politik parti itu. Biar pun ada yang mengatakan Pas mempunyai Majlis Syura yang boleh memberikan kata putus tetapi kewujudan majlis tersebut buat masa ini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sahaja.

Jika Majlis Syura benar-benar berfungsi sudah pastilah tidak wujud perebutan jawatan dalam parti tersebut. Bagaimana pula dengan keputusan majlis berkenaan yang merestui perbincangan kerajaan perpaduan diadakan tetapi akhirnya ditentang oleh sesetengah pemimpin Pas sendiri? Sebenarnya, arus perubahan yang berlaku di dalam Pas juga didorong oleh ucapan dasar Abdul Hadi yang begitu bersemangat menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta begitu teruja menguasai Putrajaya bersama-sama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Akibat keghairahan tersebut Abdul Hadi terlepas pandang bahawa ucapannya boleh menimbulkan semangat kepada kelompok pro profesional untuk menguasai parti itu. Tindakan Abdul Hadi yang bercakap soal membangunkan negara berkebajikan dilihat meletakkan pemimpin daripada golongan ulama tidak diperlukan lagi kerana Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam.

Malahan keterujaan Abdul Hadi mahu Pas menjadi sebuah parti yang cukup kuat bagi menghadapi pilihan raya umum turut mempengaruhi perwakilan untuk memastikan golongan profesional memikul tanggungjawab itu.

Lemah

Sebelum ini ulama-ulama di dalam Pas telah digambarkan sebagai kelompok yang lemah dan tidak bermaya untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu bagi memastikan impian Abdul Hadi tercapai maka beliau diberikan satu barisan kepimpinan yang kononnya paling sesuai untuk melaksanakan perjuangan tersebut. Ia bermakna selepas ini golongan ulama tidak akan mempunyai apa-apa kuasa atau peranan lagi selain hanya menurut sahaja apa juga strategi yang disusun oleh golongan profesional.

Jika dalam ucapannya Abdul Hadi menganggap ulama yang menyebelahi UMNO tidak mampu menterjemah kefahaman Islam mengenai politik semasa, bagaimana pula dengan ulama Pas? Apakah mereka benar-benar memahami politik sehingga tidak mampu berkompromi sesama mereka bagi memastikan undi tidak pecah dan orang lain mengaut keuntungan? Sebenarnya Pas yang gagal mendidik ulamanya untuk memahami politik semasa sehinggakan kesempatan itu diambil oleh golongan profesional mengatur strategi bagi memperluaskan penguasaan mereka.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden kerana gagal memainkan peranan menasihatkan anak saudaranya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menarik diri bagi mengelak undi ulama berpecah. Semua orang tahu bagaimana hubungannya dengan penyandang jawatan tersebut, Nasharudin Mat Isa.

Nik Abdul Aziz tidak menyukai Nasharudin yang dikaitkan dengan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO biarpun ia demi perpaduan Melayu dan umat Islam. Sebab itulah pada 20 Mei lalu, Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau sudah mempunyai calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden. Walaupun enggan menyebut nama calon itu tetapi semua orang pasti bahawa calon tersebut bukannya Nasharudin.

Beliau juga sudah tentu tidak merujuk kepada Mohamad Sabu yang dipertahannya habis-habisan apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah tersebut didakwa atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu suatu ketika dulu. Ia kerana Nik Abdul Aziz berpesan kepada perwakilan supaya ‘‘mengambil kira orang yang dipilih layak memimpin umat Islam dengan tingkah laku dan kata-kata.’’

Sebagai seorang yang pernah berkata bahawa seseorang pemimpin itu hanya boleh ditukar atau digantikan jika melanggar hukum syarak dan melakukan dosa besar, Nik Abdul Aziz boleh memainkan peranan menasihatkan Tuan Ibrahim menarik diri. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak mahu berbuat demikian kerana yakin perwakilan akan memahami isyarat yang beliau berikan, kesudahannya golongan ulama berputih mata berikutan kekalahan Nasharudin dan Tuan Ibrahim.

Sandiwara

Seperkara lagi walaupun ada pemimpin Pas menafikan dakwaan bahawa calon-calon yang menang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kenyataan itu boleh dianggap sandiwara sahaja. Ini kerana ada antara mereka yang dipilih mempunyai cara dan corak berpolitik seperti Anwar dan boleh dikategorikan sebagai ‘political animal’. Malah mereka juga sanggup membela Anwar bermati-matian dan turun naik ke mahkamah demi menyokong Anwar. Dan berdasarkan kepada barisan yang terpilih jelaslah harapan untuk melihat Pas tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP sudah berkubur. Apatah lagi, Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya begitu mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dan menganggap seolah-olah Malaysia akan menjadi negara terbaik di muka bumi Allah ini kalau pembangkang memerintah.

Jika dikaji seorang demi seorang pemimpin-pemimpin yang terpilih mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar mereka bukan sahaja rapat dengan Anwar malah sentiasa sahaja bersama-sama menyokong agenda politik PKR dan DAP. Lebih daripada itu, ada antaranya tidak membawa akhlak sebagai pemimpin dari sebuah parti Islam tetapi tetap dipilih oleh perwakilan atau sebelum ini dicalonkan di peringkat akar umbi.

Semua itu berlaku kerana Pas semakin terhakis jati dirinya dan ini diakui sendiri oleh beberapa penyokong Pas yang menghubungi penulis sebaik sahaja keputusan pemilihan diketahui. ‘‘Inilah akibat jika pemimpin dan ahli Pas berkawan rapat dengan Anwar, PKR dan DAP. Sebahagian mereka sudah ‘mewarisi’ corak politik pemimpin dan kelompok tersebut serta meninggalkan jati diri Pas,’’ kata seorang pemimpin muda kepada penulis.

Justeru kita tidak perlu mengharapkan bahawa Pas selepas ini akan bertindak sebagai sebuah parti yang berpolitik secara berhemah seperti mana diamalkan oleh golongan ulama sebelum ini. Sebaliknya akan berhadapan dengan sekumpulan pemimpin yang akan ‘memusuhi’ BN dan UMNO habis-habisan serta mengalakkan rakyat turun ke jalanan kononnya bagi memperjuangkan demokrasi.

Apa yang mengecewakan pemimpin dan ahli Pas sengaja menolak peringatan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr.Harun Taib supaya kepimpinan Pas tidak menghilangkan identiti serta jati diri Islam yang dijunjung sekian lama hanya kerana terlalu ingin merai kehendak pihak tertentu terutamanya rakan komponen dalam pakatan pembangkang. Tetapi peringatan itu bagai menjirus air ke daun keladi, impian ke Putrajaya yang diuar-uarkan oleh Anwar sudah mempengaruhi nafsu politik sebahagian ahli-ahli Pas sehingga mereka melihat kalau Pas tidak mengukuhkan kerjasama dengan PKR dan DAP maka impian mereka tidak akan tercapai.

Kesudahannya mereka memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat benar-benar komited untuk mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan, biar pun selama ini Pas dilihat hanya menjadi ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ sahaja. Malahan Abdul Hadi sendiri sudah diramalkan selepas ini tidak akan mempunyai ‘kekuatan lagi’ bagi menghalang ombak penguasaan politik oleh puak-puak yang ‘berkiblatkan’ Anwar di dalam Pas. Segalanya kerana kesilapan Presiden Pas itu sendiri yang sudah seolah-olah sudah memberi restu kepada ‘kehadiran ombak’ itu melalui ucapan dasarnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Berita Berkaitan

Pesan Pada PAS Jangan Khianati UMNO – Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta PAS selaku rakan sekutu utama di...

“Deklarasi Anwar dan Kenyataan Zahid Jadi Peringatan Buat PPBM”

Deklarasi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru merupakan satu peringatan kepada Kerajaan...

Komen

..

PRN Sabah & Pencapaian Najib – 17 DUN Dilawati, 12 Menang

Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi statistik “kejayaannya” membantu kempen BN dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang baru lepas. Daripada...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,347PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan