2013 – Kejayaan BN Dan Tragedi Bot Karam Sejarah Di Sarawak - pakdin.my

Pilihanraya Negeri Sawarak
Pilihanraya Negeri Sawarak

Tidak dapat disangkal, 2013 adalah tahun penuh sejarah di Sarawak, terutama dari segi politik dan kemasyarakatan.

Kejayaannya menghadiahkan 25 kerusi parlimen kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 5 Mei, menyaksikan tujuh anggota parlimen Sarawak dilantik sebagai menteri penuh dalam kabinet yang diteraju oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sarawak dan jirannya Sabah menguasai lebih 35 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.

Pelantikan semula Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 92, sebagai Yang Dipertua Negeri pada 5 Dis, menjadi bahan bualan kerana kali ini beliau akan berkhidmat untuk tempoh yang terlalu singkat iaitu sehingga 28 Feb depan.

Beliau merupakan ketua negeri pertama yang berkhidmat sebanyak dua kali dalam kapasiti itu. Kali pertama beliau dilantik ialah pada April 1977 untuk satu penggal selama empat tahun dan dilantik kali kedua pada Februari 2001 sehingga sekarang.

Sekalipun beliau berada dalam keadaan sihat walafiat dan aktif jika dibanding dengan usianya, ramai rakyat di Sarawak tertanya-tanya apa mungkin ini penggal terakhir beliau.

Sementara itu, dalam konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berlangsung dari 18 hingga 22 Okt lepas, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sekali lagi diberi mandat untuk memimpin parti tunjang BN Sarawak tersebut, selepas perwakilan bersetuju jawatan presiden parti tidak dipertandingkan.

Pengekalan pemimpin untuk tiga jawatan tertinggi PBB termasuk dua timbalan yang masing-masing dipegang oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu (sayap Pesaka) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (sayap Bumiputera), adalah selari dengan tradisi PBB yang mahu mengelak perebutan kuasa yang pastinya akan melemahkan parti.

Spekulasi mengenai calon ketua negeri juga kedengaran, terutama jika melihat sejarah sebelum ini apabila Abdul Taib, 77, dilantik menjadi ketua menteri keempat menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Yakub yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri keempat pada 1981.

Dalam pada itu, tidak semua indah dalam BN Sarawak. Parti komponennya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berdepan risiko dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) susulan konflik dalaman antara Presiden parti Tan Sri Peter Chin dan kem yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh, berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemilihan parti pada 2011.

Ketua Menteri mahu komuniti Cina bersatu di bawah satu entiti jika SUPP yang merupakan pertubuhan politik tertua di Sarawak serta pernah mengecap kegemilangan, gagal menyelesaikan krisis dalamannya.

“Saya harap mereka (pemimpin parti) boleh menyelesaikan masalah mereka bersama-sama dan jika mereka gagal, saya mahu lihat kaum Cina kembali bersatu di bawah satu pertubuhan,” kata Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak kepada pemberita ketika merasmikan penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Yayasan Sarawak 2012, di sini pada 11 Dis lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada kenyataannya itu bermakna akan ada pertubuhan politik baharu yang membabitkan penyertaan anggota dari kedua-dua pihak bersengketa dalam SUPP, bagi mengisi kekosongan parti kaum Cina dalam gabungan BN negeri.

Luka SUPP bertambah parah apabila merekodkan prestasi buruk dalam pilihan raya perlimen. Parti itu kalah dalam enam daripada tujuh kerusi yang ditandinginya, jauh berbeza dengan PBB serta dua lagi parti komponen yang lebih kecil iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Mengenai kewujudan lima parti baharu iaitu Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), People’s Alliance for Justice of Peace dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang pendaftarannya diluluskan oleh ROS pada Ogos lepas, Abdul Taib berkata mereka tidak akan menggugat kedudukan BN Sarawak.

Bot-Karam-Belaga-Sarawak-gagal-apung

Dalam pada itu, tragedi bot ‘Kawan Mas’ yang karam di Sungai Rajang, berhampiran Giam Bungan di Belaga pada 28 Mei dan meragut tiga nyawa, membawa suram kepada sambutan Hari Gawai.

Rata-rata 159 penumpang yang selamat berkongsi cerita mengenai sikap haloba pengusaha bot yang mengetepikan aspek keselamatan dan mengambil kesempatan daripada sambutan Gawai dengan memuatkan penumpang berlebihan.

Bagi pemandu trak Felix Linggi, 27, yang dalam perjalanan pulang ke Kapit dari kem pembalakan di Bakun, tragedi itu merupakan saat paling menakutkan dalam hidupnya.

Setiap yang terselamat menerima sumbangan wang tunai RM1,000, manakala waris penumpang yang maut pula menerima RM10,000 masing-masing, yang disalur oleh Majlis Keselamatan Negara dan Gagasan 1Malaysia.

Ketika menghadiri jamuan malam Gawai Dayak di sini, Najib yang sedih dengan tragedi itu mengumumkan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan jalan sepanjang 33 kilometer dari Song ke Kapit, selain sebuah jambatan di Kanowit untuk memudahkan perjalanan darat ke Sibu.

Dalam majlis itu yang merupakan antara perayaan utama di Sarawak dan dirai oleh komuniti Dayak, juga menyaksikan tiga penduduk – Harudis Busan, 42; Naries Busan, 36; dan Kimi Tanjung, 32 – dari Rumah Panjang Sekupan di Belaga, diangkat sebagai wira atas jasa menyelamatkan ramai penumpang, dan masing-masing menerima RM3,000 sebagai penghargaan kerajaan.

Sementara itu, sebagai cerminan sikap toleransi rakyat di Sarawak, Abdul Taib berkata kalimah ‘Allah’ yang menjadi isu di Semenanjung, tidak menjadi kudis di negeri berkenaan dan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kes tersebut tidak terpakai di Sarawak dan Sabah.

UTAMA2013 - Kejayaan BN Dan Tragedi Bot Karam Sejarah Di Sarawak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium