KENAPA PAS MELENTING KENYATAAN HARUSSANI? - pakdin.my

harussani

Baru disifatkan sebagai “bughah” atau pemberontak yang menentang kerajaan Islam dan “halal darah mereka”, puak pembangkang terus membalas serangan tanpa berfikir panjang, sekaligus memberi gambaran akal mereka barangkali memang pendek.

Itu kesimpulan awal terhadap PAS dan PKR yang terus hilang hormat kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria hingga sanggup mengatakan Harussani sebagai mufti jahil yang gagal memahami hukum, mufti yang tiada umat (penyokong), menyelewengkan fakta mengenai hukum-hakam Islam dan kaki ampu.

Kelayakkan serta pengalaman Harussani sebagai ulama yang mula dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985, sekaligus merupakan mufti paling senior masih kekal dalam perkhidmatan juga tidak perlu dipertikai.

Bahkan, ketika Perak di bawah pentadbiran pembangkangpun khidmat Harussani dikekalkan.

Kalau bukan akal pendek memang hilang akal agaknya  pihak yang menyifatkan Harussani, antara mufti yang paling lama masih berkhidmat di negara ini sebagai mufti jahil yang tidak memahami hukum syarak dan menyelewengkan syariat Islam.

Jika mahu dibandingkan, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri dan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang bermulut celupar melabel Mufti Negeri Perak itu sedemikian rupa bukanlah tandingan Harussani pun.

Sudahlah umur Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus serta Shamsul, Ahli Parlimen Bukit Katil pastinya jauh lebih muda daripada Harussani yang lahir pada 8 April 1939, sekaligus mencerminkan betapa biadapnya cara mereka menegur seorang yang lebih berusia.

Justeru boleh dikatakan membuang  masa sahaja jika mahu dibandingkan dengan kewibawaan mereka yang mengatakan beliau mufti yang tidak cerdik serta menasihati Harussani agar bertaubat nasuha malah ada laman blog mencadangkan beliau dipecat.

Harussani bukan bodoh. Beliau “orang lama” dan agamawan yang memikirkan dahulu tutur bicaranya.

Beliau tidakpun menuduh pembangkang, ataupun menyebut PAS atau PKR “bughah” dan memfatwakan pemimpin mana-mana pemimpin parti pembangkang “halal darah mereka”.

Harussani cuma menjelaskan secara umum pandangan Islam terhadap peserta perhimpunan haram, penunjuk perasaan, demonstrator, perusuh, pemberontak, atau apa jua gelarannya jika mereka melampaui batas hingga ke tahap menggunakan kekerasan untuk menentang dan menumbangkan kerajaan Islam.

Jika peserta Himpunan TURUN tidak begitu dan tidak berniat menurunkan kerajaan kenapa perlu melatah?

Sedarkah mereka juga seolah merendahkan daya intelektual rakyat bila menyatakan kebimbangan kononnya kenyataan Harussani boleh menimbulkan huru-hara serta mengancam peserta perhimpunan haram TURUN.

Rakyat Malaysia tidak sebodoh yang pihak pembangkang sangka kerana mereka faham apa yang Harussani maksudkan tentang “bughah” sebaliknya pembangkang yang “over react” atau memberi reaksi yang berlebih-lebih.

Pembangkang, khususnya PAS mungkin lupa bagaimana sejak lama dahulu lagi merekalah sewenang-wenangnya mengkafirkan rakyat yang tidak menyertai PAS hingga natijahnya ramai penyokong mereka memboikot kenduri orang UMNO kerana konbonnya sembelihan orang UMNO haram dimakan.

Tidak kurang juga ada yang menegah anak bernikah dengan anak orang UMNO kerana beranggapan pasangan yang dinikahkan imam kerajaan tidak sah justeru status sah taraf anak orang UMNO diragui!!!

Mereka lupa tafsiran kafir yang semberono oleh ulama PAS pernah cetuskan huru-hara dan memecah belahkan rakyat apabila bukan sedikit jumlah masjid yang menunaikan solat dua imam kerana penyokong fanatik mereka yang taksub menyifatkan solat berimamkan selain ahli PAS tidak sah!!

Ingatkah pembangkang dari mana nas dan dalil yang diambil bila pemimpin PAS suatu ketika dahulu apabila dengan pasti menyatakan undi PAS jika mahu masuk syurga sedangkan perkara itu hanya Allah yang tahu???

Kenyataan Harussani mengenai “bughah” merujuk kepada pihak tidak bertanggungjawap yang mahu mencetuskan kekacauan dan menggunakan kekerasan dijalanan untuk menumbangkan kerajaan, dan bukan khusus dituju kepada pembangkang, PAS mahupun PKR kelmarin mungkin ada hikmah dari Allah.

Jika pemimpin dan penyokong pembangkang yang  hati mereka pedih terguris, kecewa atau marah kerana TERASA disifatkan “bughah”, cuba kenang semula berapa ramai manusia yang menyokong kerajaan atau ahli UMNO serta zuriat keturunan mereka yang sedih, marah dan terhina apabila SECARA LANGSUNG dituduh kafir?

Bermuhasabahlah kita-

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAKENAPA PAS MELENTING KENYATAAN HARUSSANI?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium