Dewan Rakyat Kecoh Isu Buku Jingga - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat pada Khamis kecoh yang menyaksikan ‘perang mulut’ antara wakil pembangkang dan kerajaan terutama selepas isu Buku Jingga dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Pembangkang dilihat mula tidak senang duduk apabila Datuk Ismail Abdul Mutalib (BN-Maran) mempersoalkan mengenai janji-janji yang dibuat kepada rakyat menerusi Buku Jingga yang diperkenalkan mereka terutamanya berkaitan nasib Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan(Felda).

Belum sempat Ismail menghabiskan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencelah tanpa menggunakan sebarang peraturan mesyuarat sebagai tanda protes apabila isu Buku Jingga dibangkitkan.

“Belum jadi kerajaan lagi, kalau sudah jadi kerajaan nanti lepas pilihan raya ke-13 kita akan laksanakan… kita akan buktikan,” kataTian Chua (PKR-Batu).

Sementara itu Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang turut ‘tercuit’ dengan isu berkenaan bangun bagi memberi penjelasan sambil turut kedengaran suara-suara beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain mempertahankan Buku Jingga.

“Tuan Speaker, Maran tanya tetang Buku Jingga… ia buku kami, jadi biar kami di sebelah sini yang jawab kalau beliau tak faham,” katanya mencelah.

‘Perang mulut’ itu berlanjutan hampir 10 minit hingga memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua Ahli Parlimen duduk termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Ahmad Maslan yang sepatutnya menjawab soalan tambahan mengenai Buku Jingga tersebut.

Bagaimanapun arahan Pandikar itu tidak dihiraukan oleh Ahli Parlimen yang masih bertelagah mengenai isu berkenaan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk. Kalau ada lagi yang berdiri selepas ini saya akan arah keluar dewan.

“Ingin saya ingatkan sesi ini ialah untuk tanya soalan yang berkaitan dengan soalan asal iaitu berkaitan pinjaman Felda… kalau tak ada kaitan, Timbalan Menteri tak perlu jawab,” katanya tegas.

Terdahulu, isu Buku Jingga dikaitkan apabila Ahmad menjawab soalan asal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai kedudukan terkini kewangan Felda, kewajaran Felda meminjam lebih RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dan prestasi pelaburan hasil daripada pinjaman itu.

Menjawab soalan itu Ahmad berkata, kedudukan terkini kewangan Felda berada dalam keadaan kukuh dengan jumlah aset semasa sebanyak RM19.18 bilion.

“Itupun aset seperti tanah seluas 341,000 hektar dinilai ikut harga kos, bukan nilai semasa.

“Kalau ikut nilai semasa, maka jumlah aset Felda adalah lebih tinggi,” katanya.

 

UTAMABERITADewan Rakyat Kecoh Isu Buku Jingga

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium