FELDA DAPAT PENGHAKIMAN INGKAR TERHADAP SUARA KEADILAN - pakdin.my

20101028-felda-keadilan

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Felda hari ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap penerbit dan pencetak akhbar Suara Keadilan ekoran kegagalan mereka memasukkan kehadiran dalam saman malu RM200 juta berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘Felda bankrap’.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof selepas beliau selesai mendengar hujah peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Felda selaku plaintif di kamar beliau di sini.

Firoz yang ditemui sejurus selesai prosiding berkata, mahkamah dengan itu memerintahkan penerbit Suara Keadilan, Pelita Koridor Sdn. Bhd. (Pelita Koridor) dan pencetaknya, Percetakan NPK Sdn. Bhd. (Percetakan NPK) membayar kos serta ganti rugi kepada plaintif.

Kos dan ganti rugi itu akan ditaksirkan oleh mahkamah pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ditanya sama ada anak guamnya akan meneruskan tindakan saman tersebut terhadap empat lagi defendan lain, Firoz mengesahkan pihaknya akan berbuat demikian.

Felda mengemukakan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap defendan ketiga dan keempat itu setelah mereka gagal memasukkan kehadiran dalam kes saman tersebut.

Pada 16 Ogos lalu, Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. memfailkan writ saman malu RM200 juta terhadap enam defendan termasuk akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu atas dakwaan menyiarkan artikel berbentuk fitnah.

Pihak plaintif menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; Pelita Koridor; Percetakan NPK; editornya, Dzulkarnain Taib; dan wartawan, Rusnizam Mahat masing-masing sebagai defendan pertama hingga keenam.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, akhbar itu dalam keluaran bertarikh 22 – 29 Jun lalu telah menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam berita utama muka depan bertajuk ‘Felda Bankrap’ dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran yang sama.

Selain itu, sebuah lagi artikel dalam edisi yang sama dengan keterangan di muka surat pertama bertajuk ‘Kontroversi’ berserta gambar dan sambungannya di muka surat 3 bertajuk ‘Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu’ turut didakwa mengandungi perkataan fitnah.

Plaintif mendakwa, fitnah tersebut merupakan suatu yang amat serius yang boleh menyebabkan penghinaan dan aib kepada plaintif di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain menyebabkan kerugian yang maksimum.

Menurut plaintif, defendan dengan sengaja menerbitkan perkataan fitnah tersebut walaupun mempunyai pengetahuan bahawa perkara itu tidak benar atau palsu serta cuai dan mengabaikan kejujuran.

Plaintif juga menegaskan, perkataan fitnah telah diterbitkan dengan sengaja dan berniat jahat untuk merosakkan dan memusnahkan reputasi kedua-dua syarikat tersebut.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM200 juta termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan untuk fitnah bertulis atau kepalsuan berniat jahat dan mudarat.

Selain itu, plaintif menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh serta injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada bercakap atau menerbitkan perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak atau Internet.

Plaintif juga memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah dengan bentuknya serta terma akan ditentukan oleh plaintif, kos serta relif lain.

UTAMAFELDA DAPAT PENGHAKIMAN INGKAR TERHADAP SUARA KEADILAN

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium