Pak Jamal Meninggal Dunia Sebelum Sempat Buka ‘Homestay Mini Parlimen’ - pakdin.my

Pak Jamal mahu membuka homestay agar dapat merapatkan silaturrahim antara dia dengan mereka yang terlibat dalam program Mini Parlimen.
Pak Jamal mahu membuka homestay agar dapat merapatkan silaturrahim antara dia dengan mereka yang terlibat dalam program Mini Parlimen.

Hasrat bekas hos Mini Parlimen di RTM pada tahun 1980-an iaitu Jamal Muhamad untuk membuka homestay bagi mengumpul semula peserta yang terlibat dengan program tersebut tidak kesampaian apabila dia menghembuskan nafas terakhirnya pada Rabu.

Anak beliau, Shahila, 47, berkata, sejak akhir-akhir ini, bapanya sering bercakap mengenai perancangannya yang mahu membuka homestay agar dapat menghubungkan semula silaturahim antara dia dengan kanak-kanak rancangan itu yang kini telah pun dewasa.

“Arwah ayah memang seorang yang sangat mementingkan ikatan silaturahim dengan sesiapa sahaja. Dan sejak akhir-akhir ini, dia sering bercakap tentang perancangannya membuka homestay Kelab Mini Parlimen memandangkan dia mempunyai sebidang tanah di Dengkil (Selangor).

“Malah dia siap memesan kepada saya agar tidak lupa menjemput semua orang yang terlibat dengan program itu serta para media jika homestay itu siap dibuka nanti. Tapi apakan daya… hajat arwah tidak kesampaian,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Jamal (kiri) dikunjungi kanak-kanak sekolah semasa popularitinya pada tahun 80-an ketika menjadi hos Mini Parlimen sebagai Speaker.
Jamal (kiri) dikunjungi kanak-kanak sekolah semasa popularitinya pada tahun 80-an ketika menjadi hos Mini Parlimen sebagai Speaker.

Jamal atau lebih dikenali sebagai Pak Jamal, 75, meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi Rabu di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Allahyarham tenat dan tidak sedarkan diri di wad berkenaan sejak Selasa selepas mengadu sesak nafas dan telah menjalani ujian mengesan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) yang dipercayai dihidapinya selepas pulang mengerjakan umrah pada 30 April lalu.

“Seperti semua tahu, arwah ayah mengalami masalah pernafasan yang didakwa berpunca daripada penyakit Ankylosing Spondylitis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu.

“Penyakit itu menyebabkan tulang belakangnya membengkok hingga mengganggu paru-paru. Jadi doktor belum mengesahkan sama ada dia meninggal dunia kerana sesak nafas atau MERS-CoV,” ujarnya.

ak Jamal (tengah) beramah mesra bersama bekas ahli-ahli rancangan Mini Parlimen pada Majlis Himpunan Jejak Mini Parlimen dan Pelancaran Mini Parlimen Musim Baharu di Putrajaya pada Februari lalu.
ak Jamal (tengah) beramah mesra bersama bekas ahli-ahli rancangan Mini Parlimen pada Majlis Himpunan Jejak Mini Parlimen dan Pelancaran Mini Parlimen Musim Baharu di Putrajaya pada Februari lalu.

Beritahu Shahila, Allahyarham akan dibawa ke Masjid Jamek Dengkil dekat sini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan kawasan itu selepas solat Asar pada Rabu.

Jamal mula bertugas di RTM pada tahun 1960 dan popular menerusi rancangan Mini Parlimen sebuah program yang diilhamkan oleh isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Ia bersiaran bermula pada 1983 hingga 1995.

Memegang watak sebagai ‘Speaker’, rancangan itu menjadi tumpuan ramai disebabkan telatah kanak-kanak yang membahaskan isu-isu semasa apabila mereka melakonkan watak sebagai Yang Berhormat.

Populariti rancangan itu turut menjadi perhatian Australia Broadcasting Corporation (ABC) pada tahun 1977.

Dengan ketinggian seperti kanak-kanak berusia 12 tahun, wataknya dijadikan idola golongan berkenaan.

Selain itu, Allahyarham Jamal turut sinonim dengan pelbagai rancangan kanak-kanak terbitan RTM yang antaranya seperti Taman Kanak-Kanak, selain menjadi penerbit rancangan Pesta Pop dan Pentas Aneka.

Selepas meninggalkan dunia penyiaran selama 16 tahun, Jamal bersama keluarga menetap di Dengkil dekat sini.

Allahyarham Jamal meninggalkan seorang isteri Zainab Serat, 67, tiga orang anak iaitu Shahila, Muhammad Shahan, 45, Muhammad Eskandar, 30, serta sembilan orang cucu.

Bagi mengimbas semula populariti rancangan berkenaan, RTM menerbitkan semula program itu yang dikenali sebagai Mini Parlimen 2014. Ia bersiaran sebanyak 13 episod bermula 8 Mac lalu dan dihoskan oleh pelawak Azrul Zaidi.

UTAMABERITAPak Jamal Meninggal Dunia Sebelum Sempat Buka 'Homestay Mini Parlimen'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium