Agensi berita The Associated Press (AP) pada Rabu melakukan kesilapan besar apabila tersalah tweet sehingga menimbulkan kekecohan di laman sosial itu apabila mengatakan pesawat Belanda yang membawa mayat mangsa nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 terhempas di Belanda.
AP menyiarkan tweet “BREAKING: Dutch military plane carrying bodies from Malaysia Airlines Flight 17 crash lands in Eindhoven. (“TERGEMPAR: Pesawat tentera Belanda yang membawa mayat nahas Penerbangan Malaysia MH17 terhempas di Eindhoven”).
BREAKING: Dutch military plane carrying bodies from Malaysia Airlines Flight 17 crash lands in Eindhoven.
— The Associated Press (@AP) July 23, 2014
Status Twitter itu kemudiannya diulang Tweet (retweet) oleh pengikut laman sosial berkenaan kira-kira 3,851 kali.
Pesawat tentera Belanda yang dimaksudkan sebenarnya selamat mendarat di lapangan terbang Eindhoven, selatan negara itu.
Menerusi laman Twitter rasmi AP, status berkenaan mendapat kritikan antaranya pemilik akaun Dejavucook (@dejavuccok) berkata: “You are so stupid/you just wrote ‘crash lands’ (Anda sangat bodoh/anda baharu sahaja menulis ‘terhempas’).
AP bagaimanapun mengeluarkan kenyataan terbaharu selepas itu dengan menjelaskan pesawat Belanda yang membawa mayat mangsa nahas MH17 itu selamat mendarat di Eindhoven.
CLARIFIES: Dutch military plane carrying Malaysia Airlines bodies lands in Eindhoven.
— The Associated Press (@AP) July 23, 2014
Pesawat MH17 dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.