Karpal perlu bela diri pertuduhan menghasut: Pendakwaan - pakdin.my

Karpal Singh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini dimaklumkan bahawa peguam, Karpal Singh perlu membela diri bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, berkata hakim yang mendengar itu terkhilaf apabila membebaskan Karpal daripada pertuduhan itu kerana pendakwaan berjaya membuktikan terdapat kes prima facie terhadap peguam berkenaan.
Beliau berkata, Karpal mempersoalkan hak mutlak dan bidang kuasa Sultan Perak ketika sidang akhbar di pejabatnya pada 6 Februari 2009, yang jatuh di bawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga gagal menentukan sama ada perkataan yang disebut Karpal berkecenderungan ke arah hasutan dan bersifat menghasut.

Noorin turut membangkitkan isu ketidakpuasan hati rakyat berhubung kenyataan peguam itu sehingga menyebabkan 103 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Karpal, yang juga pengerusi DAP.

“Kenyataan akhbar itu juga menyebabkan pelbagai cacian terhadap Sultan Perak dipaparkan di laman web rasmi kerajaan negeri berkenaan,” katanya.
Karpal Singh dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama antara 12 hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Jagdeep Singh Deo berkata, rayuan pendakwaan perlu ditolak kerana Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul kerana Karpal sekadar memberi pandangan berdasarkan undang-undang, selain meminta Sultan berkenaan bertindak mengikut Perlembagaan Perak.

Jagdeep dan Karpal akan menyambung hujah mereka esok.

UTAMABERITAKarpal perlu bela diri pertuduhan menghasut: Pendakwaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium