Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dipercayai punca kemelut politik pakatan rakyat di Selangor akhirnya merayu supaya beliau diterima sebagai menteri besar.
Adun Kajang itu meminta PAS menimbang keputusan PKR mencalonkan beliau menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Parti kami sudah pilih satu calon, PAS perlu pertimbangkan. Kami sudah pilih calon,” kata Dr Wan Azizah yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Difahamkan, antara sebab utama PAS menolak Wan Azizah kerana tidak mahu calon wanita sebagai menteri besar Selangor.
Pada ketika ini, hanya DAP menyetujui keputusan PKR manakala PAS akan menentukannya dalam mesyuarat Ahad ini.
Apabila ditanya mengenai penolakan PAS kerana calon wanita yang diletak PKR, Dr Wan Azizah berkata:”Berilah peluang.”
Pada Isnin, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan isu di Selangor, namun pertemuan tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan.
Nasib Wan Azizah bertambah malang apabila surat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Sultan Selangor mohon perkenan Wan Azizah menghadap berhubung isu jawatan menteri besar ditolak Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kemelut perebutan jawatan menteri besar semakin tegang dengan tindakan Khalid memecat enam exco dari PKR dan DAP, semalam.
Beliau hanya mengekalkan empat exco dari PAS dalam pentadbirannya. PKR dan DAP pula menerima tamparan hebat kerana tiada wakil PAS hadir dalam mesyuarat tergempar PR malam tadi yang antara lain membuat keputusan merayu exco PAS boikit mesyuarat exco pagi ini.
Facebook Comments