Hidup Tanpa Subsidi - pakdin.my

wpid-subdidi-1.jpg

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia percaya mereka tidak boleh hidup tanpa subsidi, yakin tanpanya kualiti hidup mereka perlu dikompromi.

Realitinya kita boleh, dan yang lebih penting, kita mesti (hidup tanpa subsidi).

Walaupun ada subsidi yang perlu dimansuhkan, ada yang wajar dikekalkan.

Bantuan langsung dan subsidi bersasar untuk kumpulan yang memerlukan, boleh diteruskan, termasuk perkhidmatan perlu seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Ramai yang mengatakan pemansuhan subsidi bahan api akan menjejaskan kumpulan masyarakat yang paling mudah terjejas.

Bagi yang memerlukannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedia membantu mereka. Jika RM2.4 bilion dijimatkan menerusi pengurangan subsidi sebanyak 10 sen bagi subsidi bahan api, kerajaan boleh menggunakan ‘penjimatan’ itu untuk menambah pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak kira-kira RM960 juta atau tambahan RM200 setiap isi rumah untuk kira-kira 4.8 juta isi rumah yang layak menerimanya.

Bagi mereka yang mendakwa jumlah itu tidak dapat mengimbangi peningkatan harga bahan api, perlu diingatkan bahawa isi rumah terbabit tidak memandu kereta besar.

Mereka mungkin menunggang motosikal berkapasiti rendah, atau menggunakan pengangkutan awam. Malangnya yang membuat bising terdiri daripada kalangan yang memiliki kereta besar dan menjalani hidup mewah.

Ironisnya, bahan api yang murah inilah yang menarik penduduk negara jiran kita untuk menyeberangi sempadan dan mengisi tangki kenderaan masing-masing.

Ada juga kalangan nelayan dari negara jiran yang membeli diesel murah di negara ini.

Kita menggunakan sumber berharga untuk membantu mereka yang tidak memerlukannya, termasuk pelancong dan pemimpin korporat terkemuka.

Ada banyak sebab dari segi ekonomi mengapa kita wajar hidup tanpa subsidi.

wpid-subsidi-2.jpg

Pertama, kos fiskal mengekalkan sistem subsidi sedia ada sangat tinggi.

Paras hutang negara yang tinggi mendapat perhatian rakyat, namun inilah antara langkah yang perlu diambil bagi menangani situasi itu dengan berkesan.

Kedua, ada kos peluang untuk kerajaan – ia boleh menggunakan penjimatan untuk sektor yang lebih memerlukan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

Kerajaan boleh memperuntukkan dana untuk syarikat baharu, mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Penggunaan bahan api tanpa had juga mendatangkan kesan buruk – pengurangan sumber.

Generasi akan datang akan merasai kesan akibat penggunaan tenaga yang besar ke atas pemanasan bumi.

Inikah dunia yang kita mahu diwarisi anak-anak kita? Bahan api yang murah juga bermakna kita tidak menghargai nilainya dan tidak berfikir dua kali kerana menggunakannya secara membazir.

Secara umumnya, subsidi perlu bersasar dan digunakan untuk menyelesaikan masalah khusus serta menggalakkan perubahan dari segi amalan, berbanding berperanan untuk menangani masalah jangka panjang yang akan lebih banyak mendatangkan masalah dan menjejaskan ekonomi.

Jika tidak ditangani, penggunaan dan subsidi tinggi akan menjurus kepada masalah yang lebih serius.

Ukraine, sebagai contoh terpaksa beralih ke Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan penyelamat berjumlah US$15 bilion awal tahun.

Ukraine membelanjakan tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasarnya untuk subsidi gas asli.

IMF enggan berunding dengan Ukraine sehinggalah negara itu mengurangkan subsidi kepada satu pertiga – bermakna Ukraine mesti melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Saya percaya kita tidak mahu situasi seperti ini berlaku.

Kesannya lebih buruk!

Subsidi bahan api juga tidak menggalakkan pelaburan dalam tenaga altenatif dan eksplorasi bahan api fosil.

Semasa membeli kenderaan, kebanyakan kita tidak memikirkan kos bahan api yang berkaitan dengannya. Namun tanpa petrol subsidi, kita akan menimbang alternatif penjimatan tenaga, termasuk kenderaan hibrid atau kereta elektrik.

Sebagai sumber asli, jumlah petroleum yang dimiliki pasti ada batasannya.

Apa akan berlaku jika kita kehabisan sumber petroleum? Akibatnya sukar dibayangkan.

Bukankah lebih baik untuk kita memulakan hidup tanpa subsidi sekarang, dan tidak menangguhkannya sehingga pada hari yang tidak dapat dielakkan lagi?

Tidakkah lebih baik untuk menggunakan wang yang kita bazirkan ke atas subsidi untuk meningkatkan perkhidmatan asas seperti air bersih, pendidikan yang lebih baik, pengangkutan awam, infrastruktur dan penjagaan kesihatan?

Walaupun kebimbangan tidak berasas bahawa kita tidak akan mampu menghadapinya, realitinya kita boleh dan kita akan. Kita akan mengubah corak penggunaan; menggunakan kenderaan cekap bahan api dan menggunakan pengangkutan awam bagi menangani realiti baharu.

UTAMAEKONOMIHidup Tanpa Subsidi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium