Harga ikan naik sehingga 30 peratus di Pulau Pinang akibat cuaca tidak menentu - pakdin.my

harga-ikan-pulau-pinang

GEORGETOWN: Harga ikan di Pulau Pinang naik sehingga 30 peratus berikutan bekalan berkurangan selepas nelayan tidak turun ke laut berikutan cuaca tidak menentu sejak lima hari lepas.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar di bahagian pulau negeri ini mendapati harga ikan naik antara RM5 hingga RM10 sekilogram mengikut jenis ikan serta kualitinya.

Ikan bawal dijual RM40 sekilogram berbanding RM30 sekilogram sebelum ini, ikan cencaru RM10 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini dan ikan kerisi saiz sederhana RM12 sekilogram berbanding RM7 sekilogram.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 50, berkata ombak kuat dan laut bergelora sejak beberapa hari lepas telah menyebabkan bekalan ikan berkurangan dan peniaga terpaksa bergantung kepada bekalan daripada Thailand.

“Banyak nelayan tidak turun ke laut menyebabkan bekalan ikan, sotong dan udang tidak mencukupi malah beberapa jenis ikan langsung tidak dapat dijual antaranya ikan kembung.

“Peniaga terpaksa mengambil ikan daripada Thailand dan pembekal dari sana sengaja menaikkan harga kerana tahu kita kekurangan bekalan, kami juga terpaksa menaikkan harga ikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang nelayan di Tanjung Tokong yang hanya mahu dikenali sebagai Samsudin, 55, berkata kebanyakan nelayan terutama yang menggunakan bot kecil tidak turun ke laut kerana bimbang dengan keselamatan mereka berikutan keadaan laut bergelora.

“Bekalan ikan memang berkurangan kerana rata-rata nelayan tidak berani untuk turun ke laut kerana cuaca yang tidak menentu, kami bimbang keselamatan kami,” katanya.

Katanya beliau percaya bekalan ikan akan pulih dalam tempoh beberapa hari lagi iaitu selepas cuaca baik.

Beberapa pengguna yang ditemui berharap bekalan ikan dapat pulih dalam tempoh terdekat kerana mereka terkesan dengan harganya yang naik itu.

Nur Maznah Saad, 43, yang merupakan suri rumah berkata beliau menyedari harga ikan naik sejak Sabtu lepas semasa membuat persiapan untuk menyambut Aidiladha.

“Memang Sabtu lepas ada beberapa ikan telah naik harga, bagaimanapun ia tidak ketara seperti hari ini, terkejut juga bila pergi pasar tengok harga ikan dan udang naik banyak. Saya harap situasi ini tidak berpanjangan kerana ia beri kesan kepada pengguna,” katanya.

UTAMAHarga ikan naik sehingga 30 peratus di Pulau Pinang akibat cuaca tidak...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium