Solidariti Bersama Anwar ‘kecundang’ di Permatang Pauh… - pakdin.my

Sekitar tapak ekspo Seberang Jaya jam 8.30 malam tadi ketika menunggu ceramah Anwar
Sekitar tapak ekspo Seberang Jaya jam 8.30 malam tadi ketika menunggu ceramah Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke ceramah umum Solidariti Bersama Anwar di Sungai Petani dan tapak ekspo Seberang Jaya Pulau Pinang dengan penuh semangat dan harapan.

Ini kerana kawasan parlimen Sungai Petani diwakili orang kuatnya Datuk Johari Abdul manakala Seberang Jaya pula di parlimen Permatang Pauh yang diwakilinya sendiri.

Bukan bertujuan memperkecilkan Ketua Pembangkang itu tetapi sambutan kira-kira 300 orang di Sungai Petani dan tidak sampai 1,000 orang di Seberang Jaya, tentu mengecewakannya.

Apatah lagi, dua program di tempat berasingan itu menghimpunkan ramai ‘panglima-panglima Pakatan Rakyat’ tetapi jumlah kehadiran memberi gambaran Anwar ‘kecundang’ untuk mendapatkan solidariti rakyat menjelang pendengaran kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini.

Melihat kehadiran Johari, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar serta beberapa Adun PR, tidak sepatutnya jumlah kehadiran sekitar 300 orang sahaja.

Begitu juga di tapak ekspo Seberang Jaya.

Kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Timbaan Presiden PAS Mohamad Sabu serta beberapa pemimpin lain gagal menarik orang ramai mendengar ‘amanat’ Anwar berhubung kes beliau dan isu-isu semasa yang dibangkitkan dalam ceramahnya.

Malah Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali juga tidak hadir walaupun namanya tersenarai.

Lebih malang, puluhan penjaja mengeluh dan menanggung kerugian kerana ceramah di situ tidak mendapat sambutan.

Walaupun portal pro pembangkang melaporkan jumlah kehadiran kira-kira 2,000 namun sesiapa yang hadir, boleh tahu fakta sebenar.

Sebab itu juga, nada ucapan Anwar di Seberang Jaya agak sentimental.

Beliau membangkit isu mata lebam dengan harapan kejadian ketika beliau dalam penjara dahulu tidak beruang.

Anwar berkata, jika beliau ditakdirkan dipenjarakan sekali lagi, “tolong jangan pukul saya lagi.”

Anwar berkata jika beliau dipenjarakan, Permatang Pauh akan menyaksikan pilihan raya kecil dan PKR akan meletakkan calon yang akan mendapat sokongan besar.
Beliau berharap semasa pilihan raya itu, pengundi tidak akan melepaskan peluang untuk menegakkan prinsip-prinsip Pakatan iaitu keadilan untuk semua.

Menurutnya, pemimpin datang dan pergi, tetapi hubungan Pakatan mesti stabil dan diperkuatkan.

Amanat Anwar yang mungkin menyedari hukuman penjara lima tahun yang ditangguhkan sehingga rayuannya selesai kemungkinan tidak memihak kepadanya.

Mendengar amanatnya itu mungkin sudah ada membayangkan adakah isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang akan bertanding semua di Permatang Pauh?

Pada tahun 2006, Anwar dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama enam tahun kerana sabitan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan tuduhan liwat pertama terhadapnya.

Anwar telah disabitkan terhadap pertuduhan liwat kedua dan Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Beliau memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara itu dan Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan itu pada 28 dan 29 Oktober ini.

Apapun, Anwar sudah berdepan perbicaraan yang adil malah sudah banyak kesnya ditangguhkan atas macam-macam alasan.

Pada Khamis, solidariti Bersama Anwar diteruskan di Pulau Pinang dan Perak.

Harap Anwar menemui kembali sentuhan berbisanya seperti sebelum ini apabia ceramahnya dihadiri ribuan penonton dan pendengar.

UTAMAPOLITIKSolidariti Bersama Anwar ‘kecundang’ di Permatang Pauh…

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium