Kekal Akta Hasutan 1948 Kawal Insiden Tidak Diingini, Penganalisis - pakdin.my

Akta Hasutan 1948

Keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 bukanlah bertujuan mengekang kebebasan rakyat namun lebih bersifat mengawal kejadian yang tidak diingini daripada berlaku di dalam negara, demikian menurut penganalisis politik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata tindakan mengekalkan akta tersebut bertepatan dengan keadaan semasa negara yang memerlukan sebuah undang-undang jelas bagi mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Keputusan ini secara langsung dapat mengekang tindakan provokasi terhadap agama Islam termasuk mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dan isu kalimah Allah serta melindungi agama lain. Ia (peruntukan khas) amat bertepatan ketika terdapat pihak yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak untuk keluar daripada Malaysia.

“Suara-suara inilah yang sebenarnya akan menyumbang kepada ketidakstabilan negara terutama apabila mereka cuba menggunakan pengaruh media sosial serta sokongan daripada masyarakat luar untuk merealisasikan hasrat mereka. Justeru, dengan mengekalkan akta ini ia mampu menyekat mana-mana individu yang didapati cuba menghasut,” katanya kepada Bernama.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis, mengumumkan Akta Hasutan akan dikekalkan dengan penambahbaikkan.

Penambahbaikan itu ialah dengan memasukkan dua peruntukan khas bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Perdana Menteri semasa menggulung perbahasan perhimpunan itu menyatakan bahawa pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.

Mengenai gesaan segelintir pihak terutama pembangkang yang sebelum ini mahukan akta berkenaan dihapuskan, Ahmad Martadha berkata ia berikutan golongan itu lebih percaya kepada kebebasan mutlak sepertimana yang dilaungkan negara barat.

Beliau berkata hakikatnya, masih terdapat sesetengah negara barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia yang mempunyai peraturan dan undang-undang hampir sama yang turut mengambil tindakan terhadap individu yang dianggap cuba memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Sekiranya pembangkang diberi peluang untuk mentadbir negara, mereka juga akan menggunakan peraturan ini untuk memastikan negara terus berada dalam keadaan stabil dan bebas daripada gerakan yang cuba menghasut masyarakat untuk mengganggu-gugat kestabilan negara,” katanya.

Menyentuh dakwaan pembangkang kononnya akta tersebut hanya digunapakai ke atas mereka sahaja, beliau berkata kebanyakan anggota pembangkang dikenakan tindakan apabila secara jelas mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terutama berkaitan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan hak istimewa orang Melayu dan institusi raja.

“Kedua-dua perkara ini sememangnya telah dilindungi di dalam Perlembagaan negara. Oleh itu, cubaan mempersoalkan perkara berkenaan perlu diambil tindakan agar ia tidak menjadi ikutan masyarakat demi menjaga keharmonian negara dan perpaduan kaum serta kepentingan agama Islam di negara ini,” katanya.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Prof Dr Jayum Jawan berkata keadaan segelintir rakyat yang masih belum matang, bersikap sentimen, mudah melenting dan menuding jari kepada orang lain membuatkan negara masih perlu kepada akta tersebut.

“Perkara-perkara tersebut boleh menjejaskan keamanan, kedamaian dan keharmonian rakyat di negara ini. Justeru, akta hasutan masih diperlukan dan boleh diibaratkan sebagai ‘penjaga kepada budak-budak supaya tidak bergaduh’.

“Akta Hasutan sedia ada sudah memadai namun dengan memasukkan dua peruntukan khas bagi memperkukuhkannya, ia merupakan langkah positif bagi menekankan kepentingan dua perkara tersebut. Sungguhpun begitu, apa yang lebih penting ialah penguatkuasaannya yang perlu adil dan saksama serta tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak,” katanya.

Jayum berkata persepsi pembangkang yang menganggap akta itu hanya dikenakan ke atas mereka, wajar diuruskan oleh pihak berkuasa dengan menunjukkan sikap profesional dalam mengendalikan akta berkenaan selain bersedia menjawab tuduhan demi meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap akta tersebut.

Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dikemukakan buat kali pertama pada Julai 2012, dan akan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Cadangan itu pada asalnya bertujuan mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di Malaysia.

Namun, perkembangan semasa mutakhir ini menyaksikan beberapa pihak menentang dan mendesak Akta Hasutan dikekalkan bagi menangani isu-isu yang menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

UTAMABERITAKekal Akta Hasutan 1948 Kawal Insiden Tidak Diingini, Penganalisis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium