Ideologi komunis: Nazri pertahan tindakan tahan 6 ahli PSM - pakdin.my

 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini mempertahankan tindakan polis menahan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana mereka cuba ‘mendewa-dewakan’ pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program penjimatan tenaga dan penggunaan teknologi hijau Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sebuah hotel di sini, beliau berkata kerajaan sememangnya mengharamkan aktiviti pertubuhan yang mengamalkan fahaman komunis dan cuba mengagungkan pemimpin PKM bagi menjamin keselamatan negara.

Beliau mengulas tindakan polis menahan enam anggota PSM sejak 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning yang dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH, termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj.

Nazri berkata, fahaman komunis boleh menimbulkan masalah dan ancaman kepada keselamatan negara dan polis berhak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang disyaki terbabit mengikut Akta Darurat.

“Sebelum ini pemberontakan yang dilakukan PKM pada 1955 banyak mengorbankan nyawa membabitkan polis serta tentera dan ia tidak wajar sekiranya kerajaan membenarkan fahaman ini terus berleluasa.

“Selain itu, kita juga perlu menjaga perasaan keluarga bekas anggota tentera yang sanggup berkorban demi menjaga keamanan,” katanya.

Beliau berkata, komunisme ditolak sepenuhnya masyarakat di negara ini dan sebarang aktiviti yang menjuruskan kepada fahaman pertubuhan itu perlu ditangani polis untuk diambil tindakan.

Sementara itu, mengulas program penjimatan tenaga dan penggunaan teknologi hijau di kompleks mahkamah KMKL, Nazri berkata, kerajaan komited dengan usaha dilakukan KFM Holdings Sdn Bhd dalam menghasilkan sistem penjimatan tenaga di semua bangunan kerajaan sehingga ke tahap 40 peratus.

Katanya, kerajaan akan meneruskan usaha yang dilakukan syarikat berkenaan membabitkan 10 mahkamah negeri sekiranya program di KMKL berjaya mencapai sasaran.

Projek perintis yang sedang dilaksanakan KFM Holdings Sdn Bhd adalah menaik taraf Pejabat Perdana Menteri selepas Kabinet bersetuju menjadikan Perdana Putra sebagai bangunan mesra alam dari segi penjimatan tenaga.

UTAMABERITAIdeologi komunis: Nazri pertahan tindakan tahan 6 ahli PSM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium