Merpati: Hobi mahal, pulangan lumayan - pakdin.my

merpati-hias-2

Minat yang mendalam tidak menghalang penggemar burung merpati untuk ber­belanja ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan baka terbaik, selain mahu mendapatkan sangkar yang selesa.

Sifat burung merpati yang mudah diajar selain penampilan, bentuk badannya unik selain berpeluang menjana pendapatan tambahan menerusi haiwan itu, membuatkan semakin ramai mahu memeliharanya.

Burung Merpati perlu menitikberatkan aspek kebersihan dan menyediakan sistem pengudaraan baik untuk menjamin kesihatan haiwan tersebut supaya dapat mengawan, bertelur dan menetaskan anak dengan sempurna.

Umumnya, terdapat 300 spesises merpati daripada sembilan keluarga Columbidae di seluruh dunia kini menjadi produk perniagaan yang boleh memberi keuntungan.

Di Kelantan, Kelab Peminat Merpati Kelantan (KPC) yang ditubuhkan pada Januari 2013 kini mempunyai 500 ahli berdaftar bahkan turut menarik minat penggemar dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur untuk menyertai kumpulan tersebut.

merpati-hias-1

Setiausaha KPC, Wan Nor Asrol Wan Abdullah berkata, Pameran Merpati Hias dianjurkan bagi memperkenal dan mengkomersialkan seni kecantikan burung itu sebagai sebahagian produk pelancongan negara.

“Seni merpati hias ini telah lama bertapak dalam masyarakat di negara ini. Namun kurang mendapat pendedahan dan tiada penganjuran pameran dan pertandingan yang terhad berbanding seni kecantikan ayam serama dan seni suara kicauan burung ketitir dan merbah.

“Justeru, aktiviti yang dirancang dan dijalankan oleh KPC akan membuka minda masyarakat di negara ini untuk turut sama terlibat. Dengan adanya dunia tanpa sempadan, tidak mustahil industri merpati hias di negara ini mampu menembusi pasaran Asia terutama ke Indonesia, Filipina dan Thailand,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu mempamerkan sebanyak 500 ekor merpati hias dari jenis luar negara seperti Hana Pourter, Norwich Cropper, Brunner Pouters, Modena, American Faintail, Mookee serta sebahagian 200 spesis tempatan.

Wan Nor Asrol berkata, penternak merpati hias berpeluang menjana pendapatan sampingan yang lumayan iaitu antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan hasil penjualan baka.

Sementara itu, penternak merpati hias, Ahmad Sanusi Abdul Rahman, 49, dari Besut, Terengganu, mengakui beliau perlu mengeluarkan modal yang agak besar bagi perbelanjaan membuat sangkar dan makanan yang diperlukan burung tersebut.

Walaupun begitu, katanya, hasil pulangan yang bakal dinikmati juga berbaloi apabila pelbagai baka merpati yang popular dapat dipasarkan.

“Saya memulakan hobi ini sejak 2011 dengan menternak merpati jenis Sour Crop dan kemudiannya mengeluarkan modal untuk membeli sepasang baka merpati Pomeranian Pouter yang ketika itu bernilai lebih RM3,000.

“Merpati hias yang berasal dari Jerman merupakan baka atau keturunan daripada Old Dutch Cropper yang mempunyai tompokan putih pada bahagian temboloknya dan kebiasaannya berdiri tegak sekitar 70 darjah,” jelasnya.

Katanya, selain merpati dari Jerman merpati Saxxon Pouter yang bernilai RM2,500 sepasang turut diternak olehnya bagi tujuan pembiakan baka kerana burung jenis ini turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penternak baharu.

“Setakat ini saya sudah memiliki kira-kira 200 ekor merpati hias yang dipelihara dalam sangkar yang besar berhampiran dengan rumah,” katanya.

Bagi Mohd. Tarmizi Mustafa, 41, dari Tawang, Kelantan yang memiliki 200 spesies merpati Maltese dan Old German Cropper berkata, harga jualan setiap pasang burung yang dipeliharanya mampu mencecah ribuan ringgit namun bergantung kepada penampilan dan saiz burung itu sendiri.

Menurutnya, merpati hias yang diminati ramai seharusnya mempunyai keunikan rupa bentuk badannya termasuk ekor, gondok dan sebagainya.

“Sesetengah penggemar burung merpati hias akan merasakan belum mencukupi sekiranya belum memiliki koleksi merpati kipas dan merpati gondok sehinga akhir-akhir ini merpati dari jenis ini memiliki harga jualan yang lumayan,” katanya.

Penternak muda, Mohd. Azri Latif, 27, dari Alor Lintang, Besut, Terengganu yang kini memiliki 300 merpati pelbagai spesis berkata, dia lebih gemar memelihara dan membiakkan baka merpati Gaditano dari Sepanyol dan Norwich Cropper baka dari Eropah dan Australia kerana harga pasarannya yang sentiasa tinggi.

Menurutnya, sejak tahun 2011 lagi harga sepasang merpati dewasa Gaditano adalah RM13,500 manakala Norwich Crooper mencecah RM10,500 iaitu anaknya yang subur boleh dijual pada harga RM500 hingga RM1,000 bagi pasaran tempatan.

merpati-hias-3

“Lain-lain merpati yang popular pada masa ini ialah Jacobin, Fantail, dan Pouter (merpati gondok). Cara menternak merpati hias sebenarnya hampir sama dengan merpati biasa cuma diperlukan ialah penyesuaian model dengan ukuran sangkar serta melihat bentuk dan ukuran jenis merpati hias yang akan dipelihara.

“Saya amat yakin pemeliharaan merpati hias bukan sahaja berkembang sebagai hobi tetapi boleh dijadikan satu industri. Pengiktirafan dan sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan oleh KPC adalah titik awal memupuk minat orang ramai terhadap pemeliharaan burung merpati yang unik dengan kepelbagaian spesisnya,” katanya.

UTAMAMerpati: Hobi mahal, pulangan lumayan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium