POTA, Perisai Negara Hadapi Ancaman Keselamatan – Penganalisis - pakdin.my

Akta Pencegahan Keganasan POTA-

Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, berupaya memenuhi keperluan negara menghadapi ancaman subversif domestik dan membanteras elemen keganasan global yang menggugat keselamatan negara, demikian menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata rang undang-undang berkenaan, yang dibahaskan selama 12 jam di Dewan Rakyat pada 6 April lepas sebelum diluluskan tanpa sebarang pindaan, bersifat responsif terhadap situasi semasa yang berlaku pada hari ini.

“Ancaman pada hari ini merentas sempadan, maka apa yang dilakukan kerajaan (memperkenalkan POTA) adalah bertujuan melindungi negara dan rakyat. Apakah kita hendak membiarkan negara menjadi pasar militan atau lubuk kegiatan subversif?

“Pelaksanaan POTA membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga keselamatan awam selain memastikan kestabilan negara terjamin. Tanggungjawab melindungi rakyat daripada ancaman keganasan dan kegiatan subversif adalah hak asasi pemerintah mana-mana negara dan inilah yang dinamakan hak kedaulatan awam bernegara,” katany.

POTA bertujuan membanteras kegiatan keganasan di negara ini berikutan keseriusan ancaman yang dicetuskan kumpulan militan, termasuk IS.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mencadangkan POTA kerana keperluan kepada satu undang-undang khas membanteras kegiatan keganasan, malah kebelakangan ini terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dengan kegiatan itu di luar negara.

Mengenai tindakan segelintir pihak yang tidak menyokong bahkan mengecam pelaksanaan POTA, Md Shukri berkata ia menunjukkan sikap pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab golongan itu terhadap keselamatan awam.

“Jelas sekali terdapat unsur untuk membantutkan usaha kerajaan menangani ancaman kepada negara dan rakyat, yang seiring dengan situasi global. Mereka ini merupakan golongan prejudis yang tidak melihat kepada realiti ancaman semasa yang wujud.

“Kerajaan tidak perlu gusar dengan kecaman pihak tersebut sebaliknya wajar meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi apa sahaja ancaman tidak kira dari dalam mahupun luar. POTA ibarat satu pagar perundangan negara yang diharap mampu dilaksanakan secara tegas demi kepentingan seluruh rakyat,” katanya.

UTAMAPOTA, Perisai Negara Hadapi Ancaman Keselamatan - Penganalisis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium