Kualiti Jalur Lebar Perlu Dipertingkat Walau Harga Dikurang – PPIM - pakdin.my

LTE Radio Access Network (RAN) dengan Radio bina dalam

Kualiti perkhidmatan pakej jalur lebar perlu terus dipertingkat walaupun pengguna bakal menikmati pengurangan harga bagi perkhidmatan itu tidak lama lagi.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata syarikat telekomunikasi bertanggungjawab perlu memastikan pengguna berpuas hati dengan khidmat yang ditawarkan.

“Faktor utama yang menjadi rungutan pengguna selama ini ialah perkhidmatan yang dilanggani sering bermasalah, sedangkan mereka perlu bayar mahal.

“Kalau ia diberi percuma sekalipun tetapi tidak boleh digunakan, ia tidak memberi manfaat kepada pengguna,” katanya ketika dihubung.

Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan harga pakej jalur lebar asas yang ditawarkan beberapa syarikat telekomunikasi akan mengalami pengurangan antara 11 dan 57 peratus.

Nadzim berkata langkah pengurangan harga itu bertepatan tatkala perkhidmatan itu sudah menjadi keperluan utama pengguna masa kini.

“Saya yakin hal ini disambut baik oleh banyak pihak kerana hampir semua aktiviti harian memerlukan jalur lebar sebagai medium utama untuk berkomunikasi, saya juga sebagai pengguna berterima kasih kepada kerajaan yang telah memandang serius perkara ini,” katanya.

Sementara itu Nadzim turut menggesa syarikat telekomunikasi supaya terus meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dengan memastikan kecekapan pusat khidmat pelanggan mereka diperkasa.

“Ada sesetengah pengguna yang mengeluh kerana aduan mereka berkenaan masalah gangguan talian jalur lebar tidak diendahkan atau lambat diambil tindakan, maka aspek ini perlu diambil serius,” katanya.

Bagi Ikhwan Afiz Zainol, seorang pegawai pemasaran hartanah berkata penurunan harga jalur lebar itu memang wajar namun kualiti perkhidmatan merupakan aspek utama.

Ikhwan berkata tugasnya memerlukan dia untuk berkomunikasi dengan banyak pihak, maka perkhidmatan jalur lebar yang memuaskan adalah penting.

“Saya mendapatkan alat telekomunikasi terkini di pasaran agar memudahkan tugas, malangnya perkhidmatan jalur lebar yang sering bermasalah sangat mengganggu rutin kerja saya,” katanya.

Nurin Hana Jasni pula berkata penurunan harga perkhidmatan itu suatu perkara yang baik kerana perkhidmatan jalur lebar adalah suatu kemestian yang dituntut teknologi, pada masa sama kualiti adalah asasnya.

“Sebagai seorang pensyarah dan masih menyambung pengajian, khidmat jalur lebar berkualiti memang menjadi kepentingan.

“Saya perlu berhubung dengan pelajar dan pensyarah saya pada kebanyakan waktu, malah saya melayari Internet melalui telefon pintar setiap hari untuk pelbagai urusan, maka saya lebih memilih kualiti walaupun terpaksa membayar pada kadar yang tinggi,” katanya.

UTAMAKualiti Jalur Lebar Perlu Dipertingkat Walau Harga Dikurang - PPIM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium