6 ahli LPPR nafi ‘bersihkan’ Azam Baki, tak sependapat dengan Abu Zahar #pakdin.my

ENAM ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa suruhanjaya tersebut telah mengesahkan bahawa ketua pesuruhjaya Azam Baki tidak terlibat daripada sebarang salah laku dalam isu pemilikan saham korporat.

Mereka berkata, komen Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Tan Sri Abu Zahar Ujang itu sebaliknya adalah pandangan peribadi beliau.

“Kami secara mutlak ingin menyatakan bahawa ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang disebut Abu Zahar,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, sebelum sidang media pada Rabu, mereka mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk selanjutnya kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, atau Panel Aduan SPRM.

Bagaimanapun, mereka berkata pandangan dan cadangan mereka tidak dibangkitkan oleh Abu Zahar pada sidang media itu.

“LPPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kerana ia hanya ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat.

“Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti Lembaga dan institusi,” kata mereka.

Enam ahli lembaga penasihat yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prod Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Abu Zahar dalam satu sidang akhbar pada Khamis berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan.

Azam juga dilaporkan berkata bahawa pihak atasannya dimaklumkan apabila dia membenarkan adiknya, Nasir, membeli saham menggunakan akaun dagangannya pada 2015 iaitu ketika mengetuai bahagian siasatan SPRM.

Sementara itu media melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata siasatan terhadap Azam akan dimulakan selepas polis menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Jumaat.

Katanya, Azam akan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

BACA juga:

Berkaitan