Muktamar PAS: Perwakilan Selar Anggota PAS Senada Dengan DAP - pakdin.my

muktamar-pas-2015-dewan-ulama-kristian

Beberapa anggota perwakilan PAS hari ini lantang menyelar DAP dan anggota PAS sendiri yang senada dengan tindakan DAP menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Anggota perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan DAP sebagai tidak matang dalam menegur atau mengkritik sebarang isu dalam pakatan pembangkang yang menimbulkan ketidak puasan hati anggota dan pemimpin PAS.

Kamaruzaman berkata DAP tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara lantang dan berterusan termasuk mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika mereka komited dengan perjuangan pakatan pembangkang.

“DAP patut bertanggungjawab untuk membawa satu pilihan iaitu memberi harapan baharu kepada rakyat, jika mereka (DAP) masih komited untuk bersama meneruskan perjuangan ini, bertindaklah dengan lebih matang, berkawan dengan sepatutnya,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini hari ini.

Anggota perwakilan Kedah Abd Ghani Ahmad pula kesal dengan pendirian kalangan kepimpinan PAS dan PKR yang tidak menyokong usaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat, dengan memberi alasan menguasai Putrajaya lebih penting daripada melaksanakan hukum Islam itu.

Beliau menyifatkan mereka seperti roti empat segi yang mudah lembut apabila direndam dalam mimuman.

“Ia alasan tidak munasabah, sedangkan mereka tahu ini perjuangan PAS sejak dahulu, sejak PR belum ditubuhkan lagi. Kita tidak mahu pimpinan seperti roti empat segi, cicah dalam ayaq (air) kopi terus lembut,

“Sebaliknya kita mahu pimpinan yang mempunyai kekuatan akidah, pertahankan prinsip dan tidak cuba menghasut dan cuba gagalkan perjuangan (PAS) sejak dulu,” tegasnya.

Sementara itu, anggota perwakilan Kelantan, Datuk Dr Mohd Fadhli Hasan mengingatkan DAP tentang perjanjian yang dibuat pada 2011 yang ditandatangani oleh semua pemimpin PR bahawa isu pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan adalah isu yang berasingan.

Katanya mengikut perjanjian tersebut, PR berjanji untuk menentang UMNO secara bersama dan parti dalam PR boleh berjuang mengikut dasar masing-masing.

“Tetapi mengapa sekarang DAP lupakan perjanjian itu, sebaliknya DAP salahkan PAS seolah-olah PAS yang melanggar penjanjian (bila mahu laksana hudud).

“Berilah peluang PAS laksanakan apa yang kita telah perjuangkan ini sejak sekian lama dan saya meminta agar tiada anggota PAS yang terjebak dengan permainan gerakan (penentang) ini,” katanya.

Dalam pada itu, anggota perwakilan Pahang, Nazri Hasan meminta pimpinan baharu PAS agar menyiasat dakwaan adanya gerakan yang digelar ‘Hawaii-Five-O’ yang didakwa cuba menjatuhkan individu tertentu dalam parti.

Nazri berkata sehingga kini belum ada tindakan dilakukan berikutan aduan berkenaan dan mahu anggota parti yang terlibat dalam gerakan itu dikenakan tindakan tegas sekiranya laporan yang dikemukakan benar.

UTAMAPOLITIKMuktamar PAS: Perwakilan Selar Anggota PAS Senada Dengan DAP

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium