Gempa Sabah: Polis Terima Laporan Runtuhan Batu Di Kampung Kiau Nuluh Kaki Gunung Kinabalu - pakdin.my

Sebahagian penduduk Kampung Kiau Nuluh memerhati keadaan lereng Gunung Kinabalu yang mengalami kejadian runtuhan petang Rabu
Sebahagian penduduk Kampung Kiau Nuluh memerhati keadaan lereng Gunung Kinabalu yang mengalami kejadian runtuhan petang Rabu

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai runtuhan batu dari kaki Gunung Kinabalu di Kampung Kiau Nuluh, Kota Belud pada Rabu.

Beliau berkata batu dan tanah dilapor menggelongsor kira-kira pukul 1 tengah hari di sebelah timur Kota Belud yang turut menjejaskan beberapa buah rumah penduduk kampung.

“Kita akan pantau keadaan, sekiranya membahayakan, kita akan nasihatkan penduduk supaya berpindah,” katanya.

Penduduk dilapor dikejutkan dengan dentuman kuat seperti guruh yang tidak henti-henti selama hampir sejam dari arah lereng Gunung Kinabalu yang menyebabkan mereka meninggalkan rumah masing-masing.

Sementara itu Jalaluddin berkata seramai 217 penghuni di kediaman kediaman polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang terjejas dengan gempa bumi pada Jumaat lalu kini ditempatkan di kawasan selamat.

Katanya pihaknya turut meminta Jabatan Kerja Raya supaya menjalankan pemeriksaan di IPD Ranau, Kota Belud, Tuaran dan Tamparuli bagi memastikan tahap keselamatan kawasan dan bangunan berkenaan.

Runtuhan batu seperti aliran sungai
Runtuhan batu seperti aliran sungai

 
Berita sebelumnya:

Kira-kira 750 penduduk Kampung Kiau Nuluh di sini terkejut dan panik apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat seperti guruh tidak henti-henti dari arah lereng Gunung Kinabalu hampir sejam hingga akhirnya kesemua mereka meninggalkan rumah masing-masing pada Rabu.

Menurut penduduk kampung itu, Lucy Suin, 32, kira-kira pukul 1.00 tengah hari Rabu dentuman kuat berserta bunyi seperti helikopter berlegar itu menyebabkan beliau, yang masih trauma dengan kejadian gempa bumi 5 Jun lalu, segera ke kawasan lapang.
“Ingatkan helikopter sedang berpusing, rupa-rupanya batu-batu sedang jatuh dari atas gunung dan kami dapat melihat banyak perubahan di kaki gunung yang dahulunya penuh dengan hutan kini sudah berubah (gondol).

“Pada 5 Jun tidak ada macam ini. Sekarang memang kita boleh lihat dengan jelas (botak),” katanya kepada Bernama di kampung berkenaan.
Kampung Kiau Nuluh, 10 kilometer dari Taman Kinabalu, terletak berhampiran dengan bahagian selatan gunung itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kiau Nuluh, Sadib Miki, 47, berkata beliau yang baharu sahaja balik dari tugasan luar terkejut apabila penduduk kampung sudah berkumpul di rumahnya.

Sadib berkata, penduduk kampung memberitahunya terdapat gegaran kecil yang dirasai serta kedengaran bunyi dentuman kuat yang menakutkan.

“Saya pun terkejut…mereka kata mereka terlalu takut dengar bunyi runtuhan dan ada sedikit gegaran,” kata beliau.

Katanya melihat kepada kejadian hari ini serta gempa bumi pada 5 Jun lalu yang menyebabkan lebih 40 buah rumah mengalami kerosakan, beliau memohon pihak berkuasa agar menjalankan siasatan sama ada kawasan kampung mereka masih selamat didiami.

Menurutnya pihak penduduk bersikap terbuka dan akan menerima apa sahaja saranan para pakar kaji bumi berhubung masa depan kampung berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sinail Dunsun, 46, menceritakan bahawa sebaik kedengaran runtuhan batu-batu yang kuat, beliau terus keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

Katanya, kejadian seperti ini tidak pernah dialaminya sejak lebih 40 tahun menetap di kampung ini.

“Memang sangat menakutkan dan apabila saya melihat Gunung Kinabalu seolah-olah telah digondol, dahulunya di bawah gunung itu banyak hutan-hutan tetapi sekarang nampak tanah sahaja.

Dalam pada itu, wartawan Bernama yang berada di lokasi ini masih dapat merasakan beberapa gegaran kecil yang menggoncang atap zink gereja Katolik St.
Ireneus.

Pihak bomba dilihat sudah berada di kampung ini untuk memantau situasi.

UTAMAGempa Sabah: Polis Terima Laporan Runtuhan Batu Di Kampung Kiau Nuluh Kaki...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium