Musim Perayaan Bukan Alasan Berbelanja Sakan - pakdin.my

shopping-raya

“Lagu raya pun dah ada,” celah rakan semeja apabila penulis memberitahu perihal gerai menjual biskut raya di kompleks beli-belah, kira-kira dua minggu sebelum umat Islam di negara ini mula berpuasa.

Lagu raya, jualan raya, bazar Ramadan, bufet Ramadan adalah sinonim dengan bulan puasa dan sambutan hari raya di Malaysia di samping “balik kampung”.

Tak sahlah kalau tak balik kampung beraya, yang telah menjadi tradisi sambutan hari raya serta perayaan lain di negara ini termasuk bagi anak muda yang merantau mencari rezeki di kota besar seperti Kuala Lumpur.

SANA SINI JUALAN

Lazimnya jualan kuih hari raya, pakaian serta barang keperluan hari raya dibuat secara besar-besaran sepanjang bulan Ramadan.

Di Kuala Lumpur, antara tempat yang paling menjadi tumpuan untuk berbelanja adalah kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman, khasnya Lorong TAR.

Seperti cendawan tumbuh selepas hujan, begitu banyak gerai muncul di lorong belakang itu dengan jualan aneka jenis barangan dan kuih-muih raya.

Di Lorong TAR sahaja dilaporkan ada lebih 300 gerai Bazar Ramadan sementara di Jalan Masjid India ada sekitar 65 gerai.

Berniaga di Bazar Ramadan mungkin mendatangkan pendapatan lumayan sehinggakan ada golongan peniaga yang sanggup membayar sewa sehingga RM55,000 untuk berniaga di kawasan berkenaan sepanjang bulan puasa itu.

Tapak Bazar Ramadan Lorong TAR dan Jalan Masjid India dikatakan menjadi rebutan kerana kawasannya yang sudah terkenal dan menjadi tempat tumpuan membeli barangan keperluan hari raya.

BUFET RAMADAN

“Nak buka puasa di mana hari ini?” “Nak berbuka dengan apa hari ini?”

Mereka yang berkemampuan mungkin boleh melayan nafsu menjamu selera di hotel atau restoran yang menawarkan Bufet Ramadan untuk berbuka puasa atau “iftar”.

Pada hari pertama Ramadan lagi, banyak akhbar cetak rancak memaparkan premis termasuk hotel yang menawarkan bufet Ramadan ini.

Pelbagai tarikan digunakan untuk menjadikan bufet ini lebih menarik dengan memaparkan gambar pelbagai juadah berwarna-warni.

Harga bufet Ramadan ini antara RM50 dan lebih RM100 bergantung kepada premis dan hidangan yang disediakan. Ada hotel yang mengenakan sehingga lebih RM150 untuk orang dewasa dengan jumlah hidangan sehingga lebih 100 jenis!

Maaf cakap, macam mana hendak makan hidangan yang sebanyak itu!

BANYAK PEMBAZIRAN

Sepatutnya boleh berjimat tetapi mengapa ada yang merungut banyak pula keluar belanja di bulan puasa.

Apa tidaknya kalau terus-terusan mengikut telunjuk hawa nafsu.

Ambil Pasar Ramadan, sebagai contoh, memang banyak pilihan makanan juga beraneka warna jenis minuman yang dijual. Kalau kalah dengan tuntutan nafsu, berbungkus-bungkuslah makanan dan minuman yang dibeli.

Cuma realitinya, kebanyakan yang dibeli akan berakhir di tong sampah sahaja!

Menurut perangkaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCORP), rakyat Malaysia membuang sekitar 800,000 kg makanan sehari.

Jumlah itu boleh mencecah sehingga 1 juta kg atau 1,000 tan sehari sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri!

BIJAKLAH BERBELANJA

Ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus berkuatkuasa sejak 1 April lepas, ramai yang mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih.

Sehinggakan ada yang sebelum ini tidak pernah ambil kisah tentang resit bayaran, mula mengumpul resit bayaran dan mengira semula harga serta berapa banyak GST yang dikenakan.

Belum habis isu GST, pengguna di Malaysia berasa tertekan lagi dengan kenaikan harga bahan api yang diumumkan pada 1 Jun lepas iaitu kenaikan 10 sen seliter bagi harga runcit petrol RON95 (RM2.05) dan RON97 (RM2.35).

Apa pun, pengguna bijaklah berbelanja. Jangan biarkan diri terbelit dengan hawa nafsu sehingga sanggup berhutang kad kredit keliling pinggang.

Lebih parah jika sanggup mencari Ah Long untuk mendapatkan pinjaman mudah semata-mata untuk bergaya sakan di hari raya!

Ubah sikap buruk yang “semua mesti baru” di hari raya!

Penjawat awam khususnya perlu berhati-hati dengan perbelanjaan. Gaji bulan Jun mungkin diterima pada 25 haribulan sementara untuk bulan Julai dijangka dibayar seawal 9 haribulan memandangkan Aidilfitri dijangka disambut pada 16 atau 17 Julai.

Tunggu dulu kalau hendak tersenyum seronok dapat gaji awal. Fikir pula gaji bulan Ogos, tu dia 25 haribulan. Ada sekitar 48 hari dari 9 Julai hendak dapat gaji bulan Ogos!

Makanya biarlah kita berhari raya ala kadar sahaja asalkan tidak menggigit jari dan mengikat perut, tidur tak lena menghitung hari bila akan dapat gaji!

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAMusim Perayaan Bukan Alasan Berbelanja Sakan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium