Pembantu kedai telefon didakwa 
tipu pembeli #pakdin.my

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Seorang pembantu kedai telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dalam urusan jual beli telefon bimbit bernilai RM500, empat hari lalu.

Heinz Lee Pui Yee, 20, didakwa memperdayakan Dela Rosa Carolyn, 23, melalui tawaran pembelian telefon bimbit jenama Samsung di One Piece Telecommunication Enterprise, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada pukul 11 pagi, 19 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda serta sebat jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM5,000 berdasarkan kerugian yang dialami mangsa namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana dia perlu menjaga bapanya yang lumpuh selain tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar jaminan yang terlalu tinggi.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Berkaitan