Penubuhan DEIG Oleh Azmin Tidak Rasional - pakdin.my

 azmin-ali-DEIG-7-65-bil

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), sebagai tidak rasional.

Beliau berkata ini kerana, MBI tidak memerlukan satu entiti baharu bagi menstruktur semula pelaburan anak-anak syarikat yang berada di bawah pemerbadanan itu.

“Saya tidak melihat rasionalnya DEIG diwujudkan untuk menstruktur semula anak-anak syarikat yang mana boleh dilakukan di bawah MBI itu sendiri dan tidak perlu satu entiti baharu didaftar di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“DEIG, dalam konteks ini, diberi kuasa mutlak yang boleh menguruskan semua anak-anak syarikat di bawah MBI yakni tiada semak dan imbang yang seterusnya boleh menyebabkan masalah ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata penubuhan DEIG dilihat mendorong kepada risiko ketidaktelusan maklumat terutamanya berkaitan dengan kewangan kerana DEIG tidak bebas diaudit.

Irmohizam yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata sebarang pinjaman yang dibuat DEIG juga tidak perlu dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Saya khuatir DEIG adalah cubaan untuk dijadikan sebagai saluran mendapatkan sumbangan politik, maka ditiadakan mekanisme audit yang sewajarnya secara sengaja. Saya menyeru Jabatan Audit Negara boleh bertindak melakukan audit ke atas akaun DEIG.

“Untuk rekod, semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor, MBI mempunyai banyak aset.

“Saya selaku Anggota Parlimen BN di Selangor berhak mempersoalkan ketelusan penubuhan entiti ini yang dengan jelas memperlihatkan akan membawa kerugian kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Pada Selasa lepas, beberapa ADUN termasuk bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan kebimbangan mereka terhadap ketelusan penubuhan DEIG yang akan mengambil alih peranan MBI dalam menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semasa menjelaskan perkara itu pada sidang DUN Selangor berkata DEIG, yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI, ditubuhkan pada Disember lepas untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Selain itu, katanya penubuhan DEIG dapat mengurangkan impak serta risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

MBI pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan rakyat Selangor dan tanggungjawab sosial korporat, katanya.

UTAMAPOLITIKPenubuhan DEIG Oleh Azmin Tidak Rasional

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium