Perdana Menteri Tidak Perlu Bimbang Undi Tidak Percaya - pakdin.my

Parlimen-PCA-Table

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu bimbang terhadap sebarang gesaan supaya beliau berdepan undi tidak percaya di Parlimen kerana beliau mendapat sokongan padu daripada perikatan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik.

Profesor Pelawat dalam Sains Politik dan penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat, Prof Dr Jayum Jawan menegaskan bahawa hakikatnya Najib masih mendapat sokongan Anggota-anggota Parlimen daripada UMNO dan parti-parti komponen BN.

“Najib tidak perlu bimbang tentang perkara tersebut memandangkan jumlah penyokongnya tidak merosot pada masa ini. BN kini mempunyai lebih daripada 130 kerusi di Dewan Rakyat dan setakat ini, tiada seorang pun daripada mereka yang meletak jawatan daripada parti masing-masing.

“Anggota Parlimen BN mestilah memihak dan mengundi BN, justeru Najib tidak perlu risau – kecuali jika beliau mengesyaki terdapatnya Anggota Parlimen yang bertindak melawan arus dan menyokong pihak pembangkang. Namun, perkara seumpamanya jarang-jarang berlaku,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa pemimpin-pemimpin parti pembangkang mempertimbangkan untuk membentang usul tidak percaya terhadap Najib di Dewan Rakyat, yang akan bersidang semula pada 19 Okt ini.

Bagaimanapun, pada Selasa, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bahawa tiada peruntukan undang-undang dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan Anggota Parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Menurut beliau, Peraturan Mesyuarat adalah di bawah Perkara 62 Perlembagaan dan hanya Parlimen yang berhak untuk membuat prosedurnya sendiri.

Jayum, yang juga profesor kanan di Universiti Putra Malaysia, berkata walaupun beberapa Anggota Parlimen BN mungkin berasa tidak puas hati, mereka tetap memilih untuk kekal menjadi anggota parti masing-masing.

“Oleh itu, rasa tidak puas hati atau terkilan mereka tidak boleh diambil kira selagi mereka tidak mengambil sebarang tindakan. Sesetengah daripada mereka, mungkin, begitu vokal dan secara terbuka meluahkan ketidakpuasan hati…namun untuk bertindak (sama ada menyokong atau meninggalkan parti), keputusan mereka untuk kekal (Anggota Parlimen BN) adalah bukti kesetiaan kepada perikatan itu,” kata beliau.

Jayum berkata bahawa rancangan pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Najib adalah semata-mata permainan politik oleh individu-individu tertentu yang cuba mengganggu-gugat BN.

“Anggota-anggota Parlimen BN tidak sepatutnya terlalu tertekan berikutan desakan pihak pembangkang dan para pengkritik Najib.

“Sepatutnya, Anggota-anggota Parlimen kerajaan perlu menunjukkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri melalui undi percaya di Parlimen. Ini akan menjadi timbal balas terhadap khabar angin bahawa Najib dan kerajaannya telah kehilangan sokongan (anggota-anggota Parlimen),” katanya.

UTAMAPOLITIKPerdana Menteri Tidak Perlu Bimbang Undi Tidak Percaya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium