Apa punca sebenar? Tragedi rempuhan di Mina cetus perbalahan - pakdin.my

20150924-212310776

MINA  – Tragedi rempuhan di Mina yang menyebabkan 719 terkorban manakala 863 lagi cedera terus mencetuskan perbalahan antara Arab Saudi dan Iran berhubung punca sebenar kejadian tersebut.

Ketika pemerintah Arab Saudi menegaskan kejadian itu berpunca daripada sikap jemaah yang tidak berdisplin dan mengabaikan arahan pihak keselamatan, pemerintah Iran pula menuntut Arab Saudi bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tragedi berkenaan.

Iran mendakwa ia berpunca akibat ‘langkah-langkah yang tidak betul’ dan ‘salah urus’ ketika Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Mohammed Nayef mengarahkan siasatan segera dijalankan.

Dalam masa yang sama, peme­rintah Arab Saudi menafikan laporan media pro-Iran yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada protokol keselamatan semasa ketibaan Menteri Pertahanannya, Putera Mohammad Salman Al-Saud di Mina.

Duta Arab Saudi Ke United Kingdom, Putera Mohamad Nawaf Al-Saud menyifatkan tuduhan itu berniat jahat dan menyalahkan saluran-saluran media yang dika­wal kerajaan Iran kerana mencetuskan perkara tersebut.

Jurucakap tentera, Mejar Jene­ral Mansour al-Turki pula berkata, cuaca panas dan keletihan mungkin antara punca kejadian dan setakat ini tiada tanda-tanda yang menunjukkan peristiwa rempuhan itu berlaku kerana kesilapan pihak berkuasa.

Beberapa saksi yang terdiri daripada jemaah haji ketika menceritakan tragedi tersebut dalam laman sosial Facebook mempertahankan kerajaan Arab Saudi. Mereka mahu semua pihak bertenang dan tidak terpengaruh dengan agenda mana-mana golongan untuk memburuk-burukkan negara tersebut.

“Saya yakin Allah SWT akan membongkar kejahatan pihak ter­tentu jika tragedi ini memang dirancang dan disengajakan. Dan saya juga yakin bahawa mereka yang sememangnya menyimpan permusuhan dan kebencian melampau kepada Arab Saudi akan bergembira mencari 1001 alasan untuk menyalahkan pihak pentadbiran Arab Saudi yang disertakan dengan cercaan dan pembohongan,” kata seorang jemaah.

Mereka juga mendakwa, kejadian itu bukan berpunca daripada kelemahan pihak berkuasa Arab Saudi sebaliknya akibat kesesakan teruk di Jalan 204 tempat tragedi berlaku apabila ramai jemaah berkumpul di situ pada waktu yang sama.

Sementara itu portal berita Sabq mendakwa, jemaah haji dari Iran tidak mendengar arahan serta mela­kukan konfrontasi dengan pegawai keselamatan yang bertugas pada masa kejadian apabila mereka melaungkan slogan-slogan mengecam kerajaan Arab Saudi sebelum kejadian berlaku.

Berikutan wujudnya perbuatan tuduh menuduh berhubung punca tragedi, Imam Masjidilharam Sheikh Saleh Al-Talib dalam satu kenyataan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menjadikan peristiwa itu sebagai bahan kepentingan politik.

Seorang pemimpin tertinggi agama Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh berkata, kerajaan negara itu tidak boleh disalahkan kerana ia berlaku di luar kawalan manusia.

UTAMABERITAApa punca sebenar? Tragedi rempuhan di Mina cetus perbalahan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium