Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, salah seorang suspek dikatakan melepaskan satu das tembakan mengenai pipi kiri dan kepala mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama tiga ahli keluarganya dan seorang pekerja.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong oleh jirannya, namun, disahkan meninggal dunia oleh salah seorang pegawai perubatan di klinik berkenaan kira-kira 15 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Suhaimi Ali ke­tika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini berkata, punca kejadian, jenis pistol yang diguna­kan serta jumlah das tembakan yang dilepaskan masih disiasat.

Pada masa sama, beliau juga enggan mengulas lanjut kaitan kes tersebut dengan satu lagi kes tembakan sebelum ini yang melibatkan seorang guru, Mat Jusoh Ali, 56 di Padang Midin, Bukit Payong kira-kira dua bulan lalu memandangkan kedua-dua­nya dikatakan mempunyai kaitan saudara.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kita sedang menyiasat semua perkara ini. Apapun, saya akan bagi maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan kes ini,” katanya yang memaklumkan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke­ra­na membunuh.

Tambah beliau, ekoran kejadian itu, satu sekatan jalan raya dilakukan di sekitar Marang dan beberapa daerah yang berhampiran dalam usaha untuk mengesan suspek.

Alias meninggalkan seorang isteri, Noriha Muhammad, 45, dan empat anak iaitu Anis ‘Afeeqah Alias, 24 Anis ‘Areesha, 22; Ahmad Afeef, 18, dan Anis Ameeda, 14.

Tiga daripada anaknya itu kini melanjutkan pengajian di Ireland manakala yang bongsu pula masih menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Ra­kit dekat sini.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Cawangan Alur Limbat sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ADUN kawasan itu selama dua penggal namun tewas di tangan calon Pas, Ariffin Deraman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu untuk kerusi DUN tersebut.

Beliau memiliki sebuah firma guaman, Alias Abdullah & Co., dan pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan negeri; Timbalan Pendakwaraya negeri Kelantan; Majistret Kanan, Mahkamah Majistret Ko­ta Bharu, Kelantan disamping Penasihat Undang-undang di Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad manakala isterinya pula mengusahakan restoran di pusat bandar raya ini.

Difahamkan, jenazah Alias akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alur Limbat malam ini.