65,000 peserta Felcra dapat 'durian runtuh’ Aidilfitri - pakdin.my

felcra bhd

Seramai 65,000 peserta Felcra Berhad (Felcra) di seluruh negara menerima `duit raya’ berjumlah RM67.23 juta apabila agensi tersebut mengagihkan dividen interim pertamanya pada tahun ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dividen tersebut adalah hasil daripada keuntungan bersih pengeluaran ladang kelapa sawit dan getah Felcra sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini berjumlah RM85.26 juta.

Beliau berkata, peserta Felcra yang terlibat akan menerima dividen masing-masing sebelum Rabu ini.

“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 866 projek (ladang) milik peserta yang melibatkan kawasan seluas 138,172 hektar berjaya menjana keuntungan bersih semasa sebanyak RM85.26 juta.

“Daripada keuntungan bersih itu, Felcra mengambil 70 peratus iaitu RM67.23 juta untuk diagih kepada 65,111 peserta manakala bakinya 30 peratus akan dibayar pada interim kedua pada Disember ini dan yang akhir pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Peserta Felcra Interim 1/2015 di Masjid Dato’ Ghulam, Kampung Sri Pantai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar.

Tahun lalu, Felcra mengagihkan dividen sebanyak RM135.6 juta bagi interim pertama membabitkan seramai 77,510 peserta.

Mengulas mengenai penurunan agihan dividen berkenaan, Mohd. Shafie berkata, itu dipengaruhi beberapa faktor iaitu kejatuhan harga komoditi sawit di pasaran global, banjir yang melanda beberapa negeri dan projek tanaman semula komoditi berkenaan.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan duit raya kepada 233 penerima terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim serta sumbangan sebanyak RM8,000 kepada lima masjid, surau dan rumah anak yatim di sekitar daerah ini.

UTAMA65,000 peserta Felcra dapat 'durian runtuh’ Aidilfitri

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium