Penyelaras Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kerajaan negeri tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk tidak me­lakukan sesuatu mengenai isu tersebut memandangkan mereka mempunyai bidang kuasa tertentu yang boleh dijadikan faktor asas dalam mengurangkan kos serta harga perumahan seperti premium tanah dan harga pasir. Menurutnya, kerajaan PKR Selangor khususnya Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tidak perlu menyatakan tidak boleh mengawal harga perumahan sedangkan selama ini pernah mengumumkan mahu memberi perhatian kepada beban kewangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Malah, kerajaan negeri termasuk Menteri Besar sendiri dilihat seringkali menggunakan isu beban kewangan rakyat termasuk perumahan sebagai modal untuk mengkritik kerajaan Pusat.

“Jika begitu, mengapa kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri tidak berusaha untuk mengurangkan beban rakyat dengan mengawal harga rumah di Selangor? Jangan hanya tahu bercakap tetapi tidak berbuat sesuatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mat Nadzari, kerajaan negeri sepatutnya mencari kaedah sesuai untuk menangani kenaikan harga perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana yang tidak layak memohon rumah mampu milik daripada kerajaan negeri dengan menyediakan insentif khas kepada pemaju seperti pengurangan premium tanah.

Malah jelasnya, kerajaan negeri yang memonopoli industri pasir ketika ini juga boleh mengambil langkah mengurangkan harga sumber alam itu untuk menstabilkan kos pembinaan projek perumahan yang akhirnya dapat mengurangkan harga ke atas pembeli.

“Setidak-tidaknya, kalau tidak dengan pemaju swasta, kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif pengurangan sedemikian menerusi kerjasama dengan kerajaan Pusat melalui projek perumahan rakyat di bawah PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia) atau SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad),” ujarnya.

Sabtu lalu, Mohamed Azmin berkata, pentadbirannya tidak akan mengadakan dasar tertentu untuk mengawal harga pasaran perumahan walaupun mengakui nilai hartanah tersebut melambung tinggi ketika ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak ada keperluan mengadakan dasar tersebut memandangkan harga perumahan ditentukan oleh pasaran bebas berdasarkan faktor permintaan dan penawaran.

Sebaliknya, beliau memaklumkan yang kerajaan negeri hanya boleh memberi tumpuan terhadap soal penyediaan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan nilai tidak melebihi RM250,000 sebuah.