1MDB muktamadkan bidaan bagi Edra, Bandar Malaysia pertengahan November - pakdin.my

1mdb-power-plant

1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan memuktamadkan bidaan bagi kedua-dua Edra Global Energy Bhd dan Bandar Malaysia pada pertengahan November, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda Kandasamy.

Beliau berkata, syarikat pelaburan strategik itu sedang dalam proses merundingkan perjanjian jual dan beli (SPA) dengan tiga pembida akhir bagi Edra Global Energy.

Katanya, pembida akhir itu juga sedang menjalankan kajian daya maju pengesahan dalam aspek-aspek utama cadangan mereka dan akan membuat tawaran akhir terbaik selepas SPA dan kajian daya maju pengesahan dimuktamadkan dan selesai.

“Kami menjangka ini berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Saya berharap untuk berjumpa anda lagi dengan beberapa berita baik pada akhir tahun apabila selesainya urus niaga itu,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung selama sejam, di sini, hari ini.

Arul berkata bidaan itu adalah aspek utama pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan kepada Kabinet pada Jun tahun ini.

Bagi Bandar Malaysia, beliau berkata 1MDB akan menjual sekurang-kurangnya 40 peratus daripada ekuitinya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd, yang memiliki 196.68 hektar tanah di Sungai Besi.

Beliau berkata, tiga daripada empat pembida yang disenarai pendek bagi projek itu dijangka menyerahkan bidaan akhir mereka.

“Dua daripadanya melibatkan sebuah konsortium asing manakala yang lain adalah syarikat tempatan. Dalam tempoh tujuh hingga 10 hari akan datang kami akan melihat cadangan terikat dan dibiayai akhir bagi Bandar Malaysia Sdn Bhd,” katanya.

Arul berkata, 1MDB pada dasarnya telah memperoleh kelulusan perancangan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pembangunan bandar bercampur Bandar Malaysia di Sungai Besi yang mempunyai potensi nilai pembangunan kasar tinggi.

Mengenai pelan rasionalisasinya, beliau berkata 1MDB menyasar pengurangan hutang antara RM16 bilion dan RM18 bilion daripada jualan Edra Global Energy, sekurang-kurangnya RM11.5 bilion daripada jualan bahagian ekuitinya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd dan RM16 bilion lagi daripada pertukaran hutang-kepada-aset dengan International Petroleum Investment Company.

“Dengan menambah semua ini, anda akan lihat pengurangan hutang 1MDB ialah sehingga RM42 bilion. Dan, perlu diingat kami masih memiliki tanah kami di Tun Razak Exchange, Ayer Hitam di Pulau Pinang (200 ekar atau 80.94 hektar) dan tanah di Pulau Indah (318 ekar atau 128.70 hektar).

“Itulah sebabnya mengapa saya selalu berkata nilai aset 1MDB lebih tinggi daripada hutang 1MDB,” katanya.

Arul Kanda yang menerajui 1MDB sejak Januari tahun ini berkata, kegagalan 1MDB untuk mengapungkan syarikat tenaganya adalah penyumbang terbesar kepada masalah aliran tunainya.

Beliau berkata, 1MDB mendapatkan hutang untuk menjana wang dan membeli aset, tetapi ia tidak dapat melunaskannya disebabkan oleh tawaran awam permulaan yang terlewat, yang ditangguhkan dua kali pada November 2013 dan November 2014.

“Akibat tidak dapat membayar hutang adalah sangat tinggi yang membawa kepada ketidakpadanan aliran tunai,” katanya.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB muktamadkan bidaan bagi Edra, Bandar Malaysia pertengahan November

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium