LPT2 ragut nyawa ke-87 Kereta dipandu jurutera petrokimia terbabas - pakdin.my

kemalangan-lpt2-jabor

Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) terus meragut nyawa walaupun pelbagai usaha bagi mengurangkan nahas terma­suk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang dilengkapi peralatan bantuan, menggandakan operasi perangkap had laju dan memasang papan tanda amaran telah dijalankan.

Solat hajat turut diadakan di Plaza Tol Ajil pada 19 Oktober lalu bagi melindungi pengguna lebuh raya daripada musibah dan gangguan makhluk halus seperti yang didakwa beberapa mangsa kemalangan sebelum ini.

Kerajaan negeri juga memberi jaminan yang lebuh raya itu masih selamat digunakan. Namun kemalangan maut terus berlaku dan setakat ini lebih 2,000 kemalangan dengan 87 kematian dicatatkan.

Kematian ke-87 itu melibatkan seorang jurutera petrokimia di Kerteh, Muhammad Faizol Mohammad, 26, selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 252.1, berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Perasing, Jabor di sini malam tadi.

Ketika kejadian pukul 10.45 malam itu, Muhammad Faizol dikatakan dalam perjalanan pulang bersendirian dari Seremban ke kediamannya di Kemasek.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan di tengah laluan sebelum merempuh tembok kon­krit kepala jambatan Sungai Perasing.

Kemalangan berlaku di jalan lurus dalam keadaan trafik lengang namun jalan basah akibat hujan sebelum itu.

Akibat rempuhan, Muhammad Faizol yang dikatakan sudah tiga tahun bekerja di syarikat tersebut dan tinggal bersama rakan sekerja di perumahan yang disediakan majikan, tercampak keluar daripada keretanya dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Dia yang sudah mendirikan rumah tangga menghabiskan cuti hujung minggu untuk menemui isterinya yang tinggal di Seremban.

Menurut rakan mangsa, Hafifi Hasnan, 26, Muhammad Faizol merupakan seorang yang cukup disenangi oleh rakan-rakan dan komited dalam pekerjaannya.

“Dia sempat ambil gambar papan tanda Tol Jabor sebelum kejadian dan hantar dalam Instagramnya. Dia juga berkongsi pera­saannya dengan rakan berkenaan pengorbanannya berulang-alik se­­tiap hujung minggu kerana ber­jauhan dengan isteri.

kemalangan-lpt2-jabor-fb

“Tidak lama kemudian saya dapat panggilan dari rakan mengatakan yang dia terlibat dalam kemalangan. Sangat mengejutkan, saya lalu bergegas ke tempat kejadian,” ujar Hafifi.

Ketua Polis Daerah, Superin­tenden Mohd. Said Ibrahim me­ngesahkan menerima laporan ber­kenaan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang oleh keluarga untuk urusan pengebumian.

UTAMABERITALPT2 ragut nyawa ke-87 Kereta dipandu jurutera petrokimia terbabas

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium