25.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 1, 2020

7 memulakan tindakan undang-undang cabar larangan merokok di mahkamah

Tujuh individu hari ini memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan bermula esok.

Mereka memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing.

Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd. Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok di negara ini, menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.

Berdasarkan permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan perbuatan jenayah dan sehubungan itu, perbuatan terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin Perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

“Rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepikan dan ditindas daripada mengunjungi dan menikmati kemudahan di premis makan kerana ada larangan merokok.

“Larangan ini bertentangan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

“Kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mengadakan kawasan merokok asing,” kata pemohon.

Sehubungan itu, kesemua pemohon memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan bahawa keputusan peguatkuasaan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.

Mereka turut mengemukakan afidavit sokongan bersama-sama dengan permohonan itu yang diikrarkan oleh Mohd Laisani yang juga Setiausaha PRO-TEM Pertahankan Hak Perokok (PHP).

Melalui afidavit sokongan itu, Mohd Laisani berkata beliau membaca artikel pelbagai akhbar dan portal berita tempatan berhubung larangan dan arahan larangan merokok di semua premis makan, antaranya restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Mohd Laisani berkata terdapat juga laporan akhbar dan portal berita mengenai bantahan oleh persatuan pengusaha restoran yang menggesa kerajaan menarik balik arahan larangan berkenaan kerana dikhuatiri akan memberikan kesan kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, laporan sebuah portal pula menyatakan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata tempoh enam bulan pertama larangan itu dikuatkuasakan bermula esok, yang lebih ke arah memberi amaran dan pendidikan manakala penguatkuasaan akan dilakukan berperingkat.

Katanya, menurut Dr Boon Chye dalam artikel itu, jika perokok ingin merokok, mereka perlu melakukannya sekurang-kurangnya tiga meter daripada premis makan dan restoran.

“Oleh yang demikian, saya berjumpa dengan peguam saya dan keputusan diambil untuk menubuhkan PHP sebagai persatuan yang mewakili perokok di seluruh Malaysia.

“Tujuan penubuhannya adalah untuk menjaga kepentingan dan hak sah dari segi undang-undang perokok di seluruh Malaysia,” katanya.

Berita Berkaitan

Sanggah campur tangan Agong, UMANY serlah kebiadaban

Tindakan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) mempersoal Yang di-Pertuan Agong (YDPA),...

Siapa di belakang portal MalaysiaNow

Nama seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Malaysia Insight memang sudah dikenali. Sekarang timbul nama baru, MalaysiaNow....

Polis tahan Ronnie Liu, siasat kes hina Agong

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek Ronnie Liu...

Tak perlu isytihar darurat, kata Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tiada keperluan mengisytiharkan darurat di...

Komen

..