GANGGUAN BEKALAN AIR SELANGOR – TERESA KOK DIGESA HENTI TUDING JARI - pakdin.my

YB Teresa Kok digesa untuk berhenti menuding jari tetapi sepatutnya persoalkan tindakan Kerajaan Selangor berikutan gangguan bekalan air menjelang Hari Natal.

1. Kami merujuk kepada pelbagai kenyataan dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok mengenai gangguan bekalan air di Lembah Klang yang kini sedang berlaku menjelang perayaan Hari Natal.

2. YB Teresa Kok menyedari bahawa kerajaan pimpinan PKR melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 15 Oktober 2015 dan telah menukar pasukan pengurusan kanan sebaik pengambilalihan itu.

3.Rekod menunjukkan TNB telah membuat permohonan untuk melakukan penyelenggaraan segera ini lebih daripada setahun.

Ia sepatutnya dijadual dilakukan pada September 2016 tetapi dianjakkan ke awal Disember sebagaimana permintaan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan SYABAS berikutan beberapa gangguan bekalan air tidak dijangka ekoran paip pecah dan pencemaran air.

4. Dalam satu mesyuarat pada 31 Oktober 2016, penyelenggaraan TNB ini sekali lagi diminta dianjakkan kepada tarikh pada masa ini iaitu pada 19 Disember 2016, tarikh yang diminta oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan SYABAS, kerana mereka sendiri mempunyai penutupan berjadual pada 6 Disember 2016 bagi tujuan peningkatan.

5. Ia adalah tanggungjawab SYABAS dan mana-mana infrastruktur kritikal untuk memiliki penjana kuasa sokongan sendiri dan pelan kontingensi jika berlaku gangguan elektrik berjadual atau luar jangka, sebagai contohnya jika berlaku kerosakan kabel atau sebagainya bagi memastikan operasi tidak terganggu.

6. Penjana kuasa sokongan TNB telah dipinjamkan bagi menjana kuasa bagi kawasan sekitar loji air terbabit ketika gangguan bekalan elektrik ini.

7. SYABAS telah menjelaskan penjana kuasa sokongan milik mereka tidak berupaya menjana kuasa loji mereka, sekaligus menggagalkan kewujudan penjana kuasa sokongan itu sendiri.

Atas sebab yang hanya diketahui mereka, disebalik mengetahui keperluan penyelenggaraan TNB lebih setahun lalu dan setelah menangguhkannya sebanyak dua kali, SYABAS tidak mengambil inisiatif untuk menyediakan penjana tenaga sokongan, sama ada melalui pembelian mahupun melalui sewaan.

8. Realitinya, YB Teresa Kok berterusan untuk menerima hakikat iaitu semalam, Menteri Besar Selangor, YAB Datuk Seri Azmin Ali telah mengakui keputusan untuk tarikh itu dibuat oleh Kerajaan Selangor.

9. YB Teresa sepatutnya menerima hakikat ini dan berhenti menuding jari kepada TNB atau kepada Kerajaan Persekutuan atau menggambarkan ini adalah satu isu keagamaan.

10. Jika YB Teresa masih mahu mencari pihak yang salah, adalah dinasihatkan beliau mempersoalka Menteri Besar Selangor.

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Putrajaya
20 Disember 2016.

20161221-gangguan-bekalan-air-tnb-teresa-kok


TERESA KOK PROTES GANGGUAN BEKALAN AIR menjelang KRISMAS

Gangguan bekalan air yang bakal berlaku di Lembah Klang akibat kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Bukit Badong, Kuala Selangor, mulai esok sehingga menjelang sambutan Krismas adalah tindakan tidak sensitif dan perlu ditangguhkan, kata seorang ahli Parlimen DAP.

Teresa Kok berang dengan alasan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memilih tempoh itu untuk menghentikan sementara bekalan air disebabkan penggunaan air lebih rendah ketika itu berbanding hari lain sepanjang tahun.

Katanya, ia tidak mewajarkan “masa tidak sesuai” untuk kerja penyelenggaraan yang dijadualkan.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, alasan itu menunjukkan betapa jahilnya orang yang membuat keputusan terbabit mengenai kepentingan bekalan air kepada pengguna ketika musim pra-Krismas.

“Bagaimana keputusan dibuat dengan begitu banyak pewajaran diberikan kepada faktor penggunaan air paling rendah, tanpa mengambil kira kesulitan yang berlaku ketika musim perayaan?

“Saya menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili campur tangan dan mengarahkan kerja penyelenggaraan TNB ditangguhkan ke suatu tarikh sesuai,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, TNB menerusi satu kenyataan menjelaskan kerja penyelenggaraan ke atas Pencawang Masuk Utama (PMU) miliknya itu adalah penyelenggaraan pencegahan yang dilakukan setiap 3 tahun dan bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan elektrik di PMU kelak.

“Kerja ini dirancang lebih awal oleh TNB (bermula 27 September lalu) dan tarikh 19 Disember sudah diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan SPAN pada 31 Oktober lalu,” katanya.

Penyelenggaraan itu akan bermula esok sehingga 24 Disember ini yang bakal menjejaskan 814 kawasan di Lembah Klang.

Berita gangguan bekalan air besar-besaran itu mencetuskan kemarahan warga maya dan satu kempen petisyen dilancarkan untuk menggesa TNB menjadualkan semula kerja penyelenggaraan itu.

Kok berkata, pembuat keputusan yang bertimbang rasa tidak akan mencadangkan sebarang penyelenggaraan yang akan menyebabkan gangguan bekalan air besar-besaran pada musim pra-perayaan atau perayaan, sama ada Krismas, Aidilfitri, Deepavali atau Tahun Baru Cina.

“Ia paling tidak bertimbang rasa, tidak profesional dan tidak boleh diterima untuk TNB menjadualkan kerja penyelenggaraan yang akan menyebabkan gangguan bekalan air besar-besaran pada musim pra-Krismas.

“Lagi tidak boleh diterima apabila pengguna menunjukkan reaksi besar, tetapi TNB tidak menunjukkan sebarang tanda ia bersedia menangguhkan kerja penyelenggaraan dirancang itu,” katanya.

UTAMABERITAGANGGUAN BEKALAN AIR SELANGOR - TERESA KOK DIGESA HENTI TUDING JARI

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium