PENGELUARAN PERINDUSTRIAN MALAYSIA MENINGKAT 4.7 PERATUS BERBANDING TEMPOH SAMA TAHUN LALU – MELEBIHI JANGKAAN - pakdin.my

Pengeluaran perindustrian Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan positif tahun ini, kata Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik bagi IHS Global Insight, Rajiv Biswas.

Beliau berkata, ia bakal disokong pertumbuhan positif dalam kesemua indeks, terutama perkembangan mantap sektor elektrikal dan elektronik (E&E), yang kekal segmen utama sektor pembuatan negara dengan menyumbang sekitar 35 peratus daripada jumlah eksport barangan dagangan.

“Prestasi mantap sektor E&E negara dipacu momentum positif dalam pengeluaran semikonduktor. Ia dibantu pertumbuhan kukuh dalam permintaan global, yang dijangka berterusan sepanjang separuh pertama 2017,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan IHS Global Insight, hari ini.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sederhana 4.7 peratus pada Disember 2016, berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan semalam, menyatakan peningkatan itu disokong pertumbuhan positif dalam kesemua indeks iaitu pembuatan (4.3 peratus), perlombongan (5.8 peratus) dan elektrik (6.1 peratus).

Menurut data Indeks Pembelian Elektronik Pengurus (PMI) global daripada IHS Markit, PMI Elektronik Global bagi Disember 2016 mencecah paras tertinggi sejak Jun 2010.

“Ia dipacu pengembangan ketara dalam pengeluaran, tempahan baharu dan pengambilan pekerja, dan terus mengisyaratkan pengembangan pada Januari. Ini menyokong tinjauan sektor pembuatan E&E Malaysia pada separuh pertama 2017,” kata Rajiv.

Beliau menambah tinjauan sektor pembuatan Malaysia dalam jangka terdekat dijangka dibantu tinjauan ekonomi global dan Asia Pasifik bagi 2017.

IHS Global Insight, yang juga organisasi penyelidikan global, meramalkan rantau Asia Pasifik akan kekal rantau pertumbuhan paling pantas, dibantu pertumbuhan pesat dalam pasaran membangun utama Asia, iaitu China, India dan ASEAN.

Organisasi itu meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan mengukuh kepada 2.8 peratus pada 2017 daripada 2.4 peratus pada 2016, disokong pertumbuhan KDNK Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.

“Pertumbuhan global lebih kukuh akan menyediakan kesan impak positif terhadap sektor pembuatan Malaysia, yang turut dibantu penyusutan ringgit berbanding dolar AS sepanjang 2016,” kata Rajiv.

20170211-pengeluaran-perindustrian-malaysia-disember

Info

* Keluaran sektor pembuatan Malaysia meningkat 4.3 peratus pada Disember selepas mencatat pertumbuhan kukuh 6.5 peratus pada November 2016

* Subsektor utama catat peningkatan pada Disember 2016 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.7 peratus), produk elektrik dan elektronik (5.3 peratus) serta makanan, minuman dan tembakau (8.8 peratus)

* Keluaran sektor pelombongan catat pertumbuhan tinggi 5.8 peratus pada Disember 2016, selepas peningkatan 4.7 peratus pada November 2016

* Pertumbuhan dalam indeks gas asli (12.7 peratus) dan indeks minyak mentah (0.1 peratus) menyumbang kepada peningkatan itu

* Keluaran sektor elektrik meningkat 6.1 peratus pada Disember 2016, susulan perkembangan 9.7 peratus pada November 2016.

UTAMAEKONOMIPENGELUARAN PERINDUSTRIAN MALAYSIA MENINGKAT 4.7 PERATUS BERBANDING TEMPOH SAMA TAHUN LALU...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium