Langkah Jangka Masa Panjang Kerajaan Dalam Menguruskan Ekonomi Negara – @NajibRazak - pakdin.my

YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Mukah, Dato’ Sri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah, berkenaan langkah jangka masa panjang Kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara khususnya penarafan kredit bagi mengekalkan kemampanan defisit negara pada kadar yang rendah serta memastikan pertumbuhan yang stabil. – Admin

SOALAN

Apakah langkah jangka masa panjang Kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara khususnya penarafan kredit bagi mengekalkan kemampanan defisit negara pada kadar yang rendah serta memastikan pertumbuhan yang stabil?

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

1. Sewaktu saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009, dunia sedang berhadapan dengan krisis kewangan subprima yang telah mengakibatkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak negatif 1.5 peratus. Namun begitu, Alhamdulillah, kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi dan kewangan global tersebut dengan baik dan teratur.

https://en.m.wikipedia.org/wiki/Great_Recession

2. Ini kerana, Kerajaan telah melaksanakan langkah kitaran balas atau counter cyclical menerusi Pakej-Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM67 bilion yang berjaya memulihkan ekonomi negara seterusnya mencatat pertumbuhan positif sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2010. Sekiranya, Kerajaan tidak mengambil langkah ini, kemungkinan besar kegawatan ekonomi negara akan berterusan seperti mana yang telah berlaku di negara Eropah sebelum ini.

3. Berikutan langkah ini, ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan purata 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2010 hingga 2016. Manakala dengan perbelanjaan yang berhemah dan berdisiplin, defisit fiskal sebagai peratusan KDNK berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada 2010 kepada 3.1 peratus pada 2016.

Pencapaian Ekonomi Malaysia

Tuan Yang Dipertua,

4. Menyentuh tentang pencapaian ekonomi negara lagi, pada tahun 2017 lalu misalnya, kita telah mencatat pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus, yakni antara yang tertinggi sejak krisis subprima tahun 2009, malah lebih tinggi daripada sasaran 5.2 hingga 5.7 peratus, dan ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

5. Malahan lagi, berdasarkan laporan terkini oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA pula, pada tahun 2017 juga, Malaysia terus menerima aliran masuk pelaburan dari dalam dan luar yang berjumlah RM197.1 bilion, berbanding hanya RM105.5 bilion pada tahun 2010.

6. Bahkan terkini, rizab antarabangsa negara mencatat RM419.5 bilion (103.7 bilion dolar Amerika) pada 28 Februari 2018. Manakala, kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika juga telah meningkat nilainya daripada 4.48 ringgit pada Disember 2016 kepada 3.92 ringgit pada 28 Februari 2018 untuk setiap 1 Dolar Amerika.

Rasionalisasi Subsidi

Tuan Yang Dipertua,

7. Dari sudut pengurusan fiskal, bagi memastikan kedudukan kewangan terus kukuh bagi jangka masa sederhana dan panjang, Kerajaan telah melaksanakan inisiatif pembaharuan fiskal, khususnya langkah rasionalisasi subsidi berperingkat yang mengubah mekanisme pemberian subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

8. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecekapan sistem percukaian dan mengurangkan ketirisan hasil negara, Kerajaan telah mengambil langkah berani apabila memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST.

9. Hasil daripada langkah-langkah pembaharuan ini, kita merasa syukur kerana, negara telah berjaya mengharungi fasa kritikal, tatkala berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia yang menjunam lebih 50 peratus daripada 100 dolar Amerika setong pada September 2014, kepada serendah 26 dolar Amerika setong pada Januari 2016.

10. Walaupun situasi sedemikian, telah menyebabkan Kerajaan kehilangan hasil yang besar, iaitu lebih RM30 bilion, dari kutipan hasil cukai korporat, khususnya dividen PETRONAS, namun Kerajaan masih mampu menurunkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada KDNK pada tahun 2017, berbanding 5.3 peratus pada tahun 2010.

11. Impaknya, kemampuan kita menguruskan kewangan negara terus mendapat pengiktirafan, apabila badan penarafan antarabangsa seperti Fitch dan Moody’s telah memberi kita penarafan minima A. Lebih membanggakan, penarafan ini kekal sungguhpun banyak negara-negara pengeluar minyak dunia mengalami penurunan atau downgrade dalam penarafan kredit negara mereka.

12. Terbaru pula, suka saya memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF pada minggu lepas bahawa, dengan izin:

Over the past three years, the federal government deficit was reduced from 3.4 percent of GDP in 2014 to 3 percent of GDP in 2017. This is helping bring down debt. Deficit reduction was achieved mainly through expenditure cuts, although the introduction of a Goods and Services Tax in 2015 also helped.

13. Bahkan lagi, beberapa hari yang lalu, Moody’s telah mengeluarkan kenyataan bahawa, Malaysia akan mendapat lebih manfaat daripada revised perjanjian Comprehensive and Regional Trans Pacific Partnership atau CTTP.

Hutang Kerajaan Persekutuan

Tuan Yang Dipertua,

14. Merujuk tentang tahap hutang Kerajaan Persekutuan pula, kekal tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK, a self imposed limit. Kini, tahap hutang negara hanya berada pada paras 50.8 peratus daripada KDNK.

15. Ini bermakna, kedudukan hutang kita masih terurus dan Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. Sedangkan, jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara maju, di mana hutang Kerajaannya berbanding KDNK, jauh lebih tinggi, sehingga ada yang melebihi 200 peratus.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

16. Jelasnya, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus menyediakan perancangan ekonomi dan kewangan bagi jangka masa panjang untuk mencapai sasaran negara High Income Advanced Economy menjelang tahun 2020, dan saiz ekonomi RM2 trilion pada tahun 2025, sekaligus menuju TN50, untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik lagi termaju dunia pada 2050.

Tuan Yang Dipertua,

17. Saya ingin menegaskan bahawa, Kerajaan tidak boleh sekadar mengambil pendekatan popular sahaja, sebaliknya, kita perlu lebih bertanggungjawab dan melaksanakan apa yang perlu bagi menyediakan asas ekonomi serta kewangan yang kukuh demi kepentingan rakyat dan generasi masa hadapan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

————
https://pakdin.my/tag/ekonomi-2/

#KamiGengNajibRazak
#RespectMyPM

UTAMAEKONOMILangkah Jangka Masa Panjang Kerajaan Dalam Menguruskan Ekonomi Negara - @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium