PRU14: Polemik Status Sah UMNO - pakdin.my

1. Polemik ini telah dibangkitkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz di dalam laman Facebook beliau dengan memetik nasihat perundangan yang diberikan oleh seorang Peguam tidak bernama.

2. Tan Sri Rais Yatim kemudiannya mentalunkan persoalan yang sama dan menasihatkan Majlis Tertinggi UMNO mendapatkan satu deklarasi Mahkamah tentang status keesahan UMNO.

3. Susulan itu, 16 orang ‘Ahli UMNO’ telah memfailkan satu permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mempersoalkan status sah UMNO. Peguam yang mewakili mereka, Haniff Khatri Abdulla, telah membuat kenyataan media yang melabelkan UMNO sebagai parti yang tidak sah atau parti yang telahpun terbatal pendaftarannya kerana tidak membuat pemilihan jawatankuasa parti di semua peringkat dalam tempoh 3 tahun dicampur 18 bulan.

Keadaan-keadaan Di Mana Sesuatu Parti/Pertubuhan Menjadi Tidak Sah Menurut Akta Pertubuhan 1966

4. Tidak ada satu keadaan sekalipun di bawah Akta Pertubuhan 1966 di mana sebuah parti/pertubuhan boleh menjadi tidak sah/haram atau terbatal pendaftarannya secara automatik kerana berlaku sesuatu keadaan, misalnya, tidak mengadakan Mesyuarat Agung.

5. Akta Pertubuhan memperuntukkan pelbagai keadaan di mana sesuatu parti/pertubuhan boleh dibatalkan pendaftarannya oleh Menteri dan/atau Pendaftar Pertubuhan, misalnya, Seksyen 2A, Seksyen 5, Seksyen 13, Seksyen 36 dan Seksyen 52. Namun, kesemua keadaan ini dirangkumkan di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966;

Seksyen 13 – Pembatalan dan Penggantungan

Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan pendaftaran mana-mana parti/pertubuhan jika:

a. Parti/Pertubuhan tersebut dengan persetujuan 3/4 ahlinya bersetuju untuk membubarkan parti/pertubuhan tersebut;

b. Menteri membuat perintah menurut Seksyen 5 mengisytiharkan sesuatu parti/pertubuhan digunakan bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara;

c. Pendaftaran parti/pertubuhan dilaksanakan secara penipuan, kekhilafan, atau salah nyataan;

d. Parti/Pertubuhan digunakanbagi maksud yang memudaratkan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak;

e. Parti/Pertubuhan berusaha untuk mencapai tujuan-tujuan, lain daripada tujuan-tujuan ia didaftarkan;

f. Parti/Pertubuhan melanggar secara sengaja mana-mana peruntukkan Akta Pertubuhan 1966 dan/atau Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta Pertubuhan;

g. Parti/Pertubuhan itu telah tidak wujud lagi;

h. Setelah Pendaftar mengeluarkan Perintah di bawah Seksyen 13A, Parti/Pertubuhan itu telah gagal mematuhi Perintah tersebut;

i. Parti/Pertubuhan telah tidak mematuhi Seksyen 2A kerana bertindak bertentangan dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan/Negeri dan bertindak secara bertentangan atau tidak mengambil kira sistem Kerajaan demokratik, Raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Malaysia, penggunaan bahasa kebangsaan dan kedudukan orang Melayu dan orang Asli Sabah-Sarawak;

j. Parti/Pertubuhan telah mengamalkan upacara Triad secara bertentangan dengan Seksyen 52 Akta Pertubuhan;

k. Apabila wujud ‘pertikaian’ di antara ahli-ahli dan Parti/Pertubuhan, dan Pendaftar mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 16(1), Parti/Pertubuhan tersebut telah gagal mematuhi Notis berkenaan; dan

l. Apabila Parti/Pertubuhan menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 14(7) kerana gagal memberikan maklumat bertulis.

6. Selain daripada keadaan-keadaan di atas, sesuatu Parti/Pertubuhan tidak boleh disifatkan menjadi tidak sah/haram atau terbatal pendaftarannya menurut undang-undang. Adalah jelas bahawa kelewatan atau kegagalan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ataupun Pemilihan Pemegang Jawatan Parti/Pertubuhan bukanlah satu keadaan yang boleh mengakibatkan pendaftaran sesuatu Parti/Pertubuhan menjadi terbatal/tidak sah/haram. Kegagalan atau kelonggaran di dalam mematuhi Perlembagaan atau undang-undang tubuh Parti/Pertubuhan juga bukanlah satu keadaan yang boleh mengakibatkan pendaftaran sesuatu Parti/Pertubuhan menjadi terbatal/tidak sah/haram.

7. Ternyata, ketiga-tiga pandangan yang merumuskan kononnya UMNO adalah Parti yang tidak sah/haram atau terbatal pendaftarannya secara automatik, adalah dangkal kerana mereka hanya membuat rujukan kepada Perlembagaan UMNO tanpa langsung membuat sebarang rujukan silang dengan peruntukkan-peruntukkan Akta Pertubuhan 1966.

Kelewatan, Kelonggaran atau Kegagalan Mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan

8. Akta Pertubuhan 1966 langsung tidak mempunyai apa-apa peruntukkan khusus untuk mengawasi (“regulate”) perjalanan Parti/Pertubuhan berhubung Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan. Ia hanya memperuntukkan bahawa segala suratcara dan maklumat Parti/Pertubuhan dikemukakan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

9. Melalui maklumat yang dibekalkan, Pendaftar Pertubuhan menjalankan pengawasan administratif, yang bukan bersifat statutori ke atas status Mesyuarat Agung atau perjawatan Parti/Pertubuhan.

10. Suatu lagi cara kelewatan, kelonggaran atau kegagalan mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan ini boleh dibawa ke perhatian Pendaftar adalah melalui satu makluman oleh Parti/Pertubuhan itu sendiri atau melalui aduan yang dibawa oleh ahli-ahli terhadap Parti/Pertubuhan.

11. Samada Pendaftar memperolehi maklumat daripada rekodnya sendiri atau melalui makluman oleh Parti/Pertubuhan atau melalui aduan ahli-ahli, Pendaftar Pertubuhan boleh bertindak dengan cara-cara berikut:

i. Jika melalui makluman Parti/Pertubuhan, suatu penangguhan atau perlanjutan masa diperlukan untuk mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan, dalam ketiadaan kuasa khusus untuk mengawasi perjalanan Parti/Pertubuhan berhubung Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan, Pendaftar boleh membenarkan penangguhan atau perlanjutan masa dengan menggunakan kuasa-kuasa tambahan yang diberikan oleh Seksyen 3A kepada beliau;

ii. Jika Pendaftar mengambil maklum melalui pengawasan administratifnya sendiri bahawa sesuatu Parti/Pertubuhan telah tidak mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan, Pendaftar boleh menggunakan kuasa-kuasa tambahan yang diberikan oleh Seksyen 3A kepada beliau untuk mengarahkan Parti/Pertubuhan mengadakan mesyuarat dan/atau pemilihan tersebut dalam sesuatu tempoh masa;

iii. Jika terdapat aduan daripada ahli-ahli bahawa Parti/Pertubuhan telah tidak mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan dan status sebenar pemegang jawatan dalam Parti/Pertubuhan tidak dapat dikenal pasti kerana mereka yang memegang jawatan sudah melampaui tempoh perjawatan, Pendaftar boleh berpuas hati bahawa telah wujud satu PERTIKAIAN dan dengan itu boleh mengeluarkan notis kepada Parti/Pertubuhan untuk menunjukkan dalam tempoh satu (1) bulan langkah penyelesaian kepada pertikaian itu dan langkah bagi perlantikan yang betul.

12. Di dalam kes UMNO, proses yang dilalui adalah seperti perenggan (i) di atas di mana Pendaftar Pertubuhan telah memberikan perlanjutan masa untuk UMNO mengadakan Mesyuarat Agung atau Pemilihan Pemegang Jawatan dalam masa setahun.

13. Di dalam kes DAP sebelum ini, ahli-ahli parti telah mengemukakan aduan terhadap kesahtarafan Mesyuarat Agung serta pemegang-pemegang jawatan yang dipilih di dalam proses pemilihan yang didakwa tidak sah. Pendaftar Pertubuhan telah mengisytiharkan wujudnya satu PERTIKAIAN dan telah mengarahkan parti DAP mengadakan Mesyuarat Agung/Pemilihan semula. Harus diingat bahawa di sepanjang proses PERTIKAIAN itu dirungkai, parti DAP kekal sah dan pendaftarannya tidak terbatal secara automatik.

Mengheret UMNO ke Mahkamah

14. Adalah jelas bahawa tindakan 16 orang ‘ahli UMNO’ mengheret UMNO ke Mahkamah adalah berhubung dengan ‘perkara parti’ meskipun mereka mempertikaikan tindakan-tindakan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan.

15. Adalah juga jelas bahawa 16 orang ‘ahli UMNO’ ini telah mempertikaikan ‘keputusan-keputusan’ yang telah dibuat oleh pengurusan Parti:

i. keputusan untuk tidak mengadakan Mesyuarat Agung dan Pemilihan Pemegang Jawatan parti di dalam tempoh 3 tahun dicampur 18 bulan;

ii. keputusan untuk memohon perlanjutan masa daripada Pendaftar Pertubuhan;

16. Menurut fasal 20.7 Perlembagaan UMNO:

Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke Mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti, maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya

17. Mahkamah-Mahkamah Tinggi sebelum ini telah memutuskan di dalam beberapa kes bahawa ahli UMNO yang membawa perkara parti ke Mahkamah, tidak lagi menjadi ahli parti, dan dengan demikian tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membawa hal ehwal UMNO ke Mahkamah. Di antara kes-kes tersebut adalah:

a. Ismail Bin Mohd dan satu lagi lwn Zainul Abidin Bin Mohamad Hashim dan 3 yang lain [1994] 2 CLJ 201

b. Amran Abd Rahman dan dua lagi lwn Dato Haji Ikmal Hisham Abdul Aziz dan 2 yang lain [2013] 1 LNS 666

c. Hendry Jamry Yakim dan satu lagi lwn Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak dan 3 yang lain [2014] 1 LNS 834

18. Di atas alasan ini semata-mata, tindakan Mahkamah oleh 16 orang ‘ahli UMNO’ tersebut dijangka gagal.

19. Selain itu, Akta Pertubuhan melalui Seksyen 18C juga menggalang mana-mana keputusan parti dicabar di Mahkamah dan Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian tentang keputusan parti:

Seksyen 18CKeputusan Parti Politik Adalah Muktamad dan Konklusif

“Keputusan sesuatu parti politik tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan itu”

20. Tambahan pula, adalah merupakan satu prinsip teras undang-undang bahawa sesuatu Mahkamah tidak akan melaksanakan bidangkuasanya untuk membuat kajian semula kehakiman atau memberi sebarang perintah deklaratori sekiranya terdapat mekanisme sedia ada untuk penyelesaian pertikaian di antara Plaintif-plaintif dan Pendaftar Pertubuhan, dan mekanisme ini tidak digunakan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum pertikaian tersebut dibawa ke Mahkamah.

21. Di dalam kes ini, 16 orang ‘ahli UMNO’ berkenaan sepatutnya membawa aduan mengenai UMNO ke perhatian Pendaftar Pertubuhan menurut Seksyen 16(1) agar Pendaftar Pertubuhan boleh mengisytiharkan wujudnya satu pertikaian yang memerlukan pemutusan beliau.

22. 16 orang ‘ahli UMNO’ ini telah gagal/enggan menggunakan mekanisme ini terlebih dahulu.

23. Justeru, ahli-ahli UMNO, para pendokong dan penyokong parti, rakyat Malaysia dan para pengundi tidak harus berasa terlalu gusar atau bimbang dengan perkembangan semasa ini. UMNO kekal dan akan terus kekal sebagai sebuah parti yang sah dan berdaftar serta layak untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-14.

24. Dalam apa keadaan sekalipun, Barisan Nasional adalah suatu entiti yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Perkembangan semasa ini tidak mempunyai sebarang kesan ke atas status Barisan Nasional. Watikah calon-calon Barisan Nasional bakal ditandatangani oleh Pengerusi Barisan Nasional, dan bukannya Presiden UMNO.

HASNAL REZUA MERICAN
PENGAMAL UNDANG-UNDANG
NAIB KETUA UMNO BAHAGIAN SELAYANG

UTAMAPILIHAN RAYAPRU14: Polemik Status Sah UMNO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium