Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]
UtamaNASIONALPERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA...

PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993 - pakdin.my

Tuan Yang di-Pertua, Saya telah menjelaskan dengan panjang lebar pada 18 Januari 1993 mengenai tujuan Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan apa yang dianggap sebagai kekebalan atau immunity Raja-Raja, iaitu mereka tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa untuk orang ramai kerana melakukan apa-apa kesalahan. Pindaan ini dibuat kerana difikirkan pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang- undang sudah tidak sesuai lagi dengan aliran zaman. Dengan pindaan ini adalah dipercayai perasaan marah kepada Raja atau Sistem Beraja dapat dielakkan kerana rakyat akan dilindungi oleh undang-undang daripada dianiaya oleh Raja dan dengan itu adalah dipercayai dan diharap Raja tidak akan melakukannya. Dengan pindaan ini, perhubungan di antara Raja dengan rakyat akan menjadi lebih teratur dengan kedua- kedua pihak mempunyai hak-hak tertentu di bawah undang- undang yang jelas dan bukan lagi hanya ditentukan oleh adat yang mudah disalaherti dan disalahtafsirkan. Rakyat tidak lagi akan marah kepada Raja kerana apa yang dilakukan oleh Raja adalah terhad kepada peruntukan di bawah undang-undang. Sebaliknya jika rakyat melakukan sesuatu kesalahan terhadap Raja, maka yang akan menentukan hukum ialah pengadil atau hakim dalam Mahkamah Khas yang akan menguatkuasakan undang- undang biasa.

2. Setelah dibahas, Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menurut prosedur, Rang Undang-undang ini telah dihantarkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

3. Setelah menerimanya Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan mempunyai dua pilihan, iaitu:
* Baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang tersebut dalam tempoh 30 hari; atau
* Baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan menyatakan mengapa Rang Undang-Undang tersebut tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula atau diubahsuaikan oleh Parlimen.

4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan Rang Undang-Undang tersebut dengan cadangan beberapa pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula oleh Parlimen.Jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang ini, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika Yang di-Pertuan Agong memperkenankannya maka ia akan menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sah. Jika tidak diperkenankan ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.

5. Pengubahsuaian yang dibuat terhadap Rang Undang-Undang berkenaan adalah hasil daripada beberapa perbincangan di antara pihak Kerajaan dengan pihak Raja-Raja.Pengubahsuaian ini disyorkan demi memperkemaskan undang- undang berkenaan dan menjaga kehormatan Raja-Raja.

6. Pengubahsuaian ini tidak menjejaskan tujuan utama Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) l993 yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu menentukan Raja boleh didakwa di bawah undang-undang negara. Perbezaannya ialah Raja-Raja akan dihadapkan ke Mahkamah Khas sahaja.Peruntukan asal dalam Perlembagaan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa dikekalkan.

7. Penyesuaian ini memerlukan dua perkara yang baru ditambah kepada Rang Undang-Undang berkenaan. Perkara yang pertama ialah mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau kedudukan Raja sekiranya Baginda atau Raja menghadapi tindakan undang-undang. Yang di-Pertuan Agong hendaklah berhenti menjalankan fungsinya sebagai Agong apabila menghadapi tindakan undang-undang. Begitu juga dengan Raja- Raja Negeri. Sekiranya Raja menghadapi tindakan undang- undang, Raja hendaklah berhenti menjalankan fungsi Baginda dan jika didapati bersalah dan dihukum penjara lebih daripada satu hari akan diturunkan takhta melainkan jika Baginda diampun. Dalam tempoh Raja berhenti menjalankan fungsi-fungsi Raja, seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja akan dilantik mengikut Perlembagaan Negeri untuk menjalankan fungsi Raja negeri berkenaan. Bagi membolehkan fungsi-fungsi Raja itu dijalankan oleh seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Penyesuaian ini, saya percaya, disyorkan oleh Raja-Raja kerana tentulah aneh dan tidak dapat diterima oleh masyarakat dan juga oleh Raja- Raja jika seorang Raja yang dihadapkan ke Mahkamah Khas ini terus menjalankan tugasnya sebagai Raja atau ianya masih terus menjadi Raja setelah dihukum oleh mahkamah dan menjalani hukuman.

8. Mengikut peruntukan Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri mesti mengandungi peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Maka selaras dengan pindaan-pindaan yang diperbuat kepada Jadual Kelapan itu Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing supaya Perlembagaan Negeri juga selaras dengan peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

9. Adalah diharapkan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat pindaan tersebut.

10. Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya peruntukan Perlembagaan Negeri sejajar dengan pindaan yang dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut kuasa yang diberi di bawah Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, satu undang-undang boleh dibuat di peringkat Persekutuan untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu dapat juga dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri. Dengan demikian kita berharap pindaan-pindaan yang dimaksudkan itu akan dilaksanakan oleh semua Kerajaan Negeri.

11. Pindaan yang kedua ialah sebarang tindakan ke atas Raja-Raja tidak boleh diambil tanpa persetujuan Peguam Negara. Ini adalah bagi menjamin Raja-Raja tidak diheret ke mahkamah oleh pihak-pihak yang hendak memalukan Raja-Raja atas sebab-sebab yang tidak berasas.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Kerajaan menyokong Rang Undang-Undang pindaan yang disyorkan dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja ini kerana ianya selaras dengan pindaan asal. Pindaan ini adalah untuk kebaikan rakyat, Raja-Raja dan Kerajaan. Ianya memberi keadilan kepada semua pihak dan sesuai dengan pentadbiran negara masakini serta selaras dengan pemikiran di zaman ini berkenaan dengan Sistem Beraja.

13. Persetujuan Raja-Raja kepada pindaan Rang Undang-Undang ini adalah baik untuk masa depan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen negara ini.

14. Kerajaan menyanjung tinggi kebijaksanaan Raja-Raja kerana bersetuju dengan pindaan Perlembagaan dengan pengubahsuaian ini.

15. Dengan lulusnya pindaan kepada Rang Undang-Undang ini kelak oleh Parlimen dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita yakin semua pihak akan dapat menumpukan perhatian dan usaha-usaha ke arah pembangunan dan kemajuan negara tanpa gangguan lagi.

Tuan Yang di-Pertua,

16. Perbincangan berkenaan pindaan kepada Perlembagaan untuk memberi perlindungan undang-undang kepada rakyat daripada sebarang tekanan atau penganiayaan oleh Raja telah mengambil masa yang agak panjang. Kadang-kadang kita dengar kritikan bahawa serangan terhadap Raja, tingkah-laku dan cara hidup mereka adalah keterlaluan.

17. Sayugia diingatkan bahawa sehingga tahun 1990 tidak ada sesiapa yang mengkritik atau menegur Raja secara terbuka.Ini mungkin kerana adat resam orang Melayu atau kerana takut melanggar Akta Hasutan.

18. Tetapi selepas Pilihanraya Umum 1990 perasaan marah kepada Raja Kelantan telah meluap kerana Baginda telah secara aktif dan terbuka berkempen bagi pihak parti bapa saudaranya. Rakyat tidak dapat menerima bukan sahaja perbuatan membelakangkan larangan berpolitik oleh Raja, tetapi juga percubaan untuk menaikkan keluarga sendiri ke jawatan tinggi — satu jenis nepotisma yang amat berbau feudal dan anti demokrasi.

19. Semenjak itu rakyat mula mengkritik Raja secara terbuka. Mereka tidak berasa segan-silu lagi. Apa yang telah dilakukan oleh Raja Kelantan ialah membuka, dengan izin Tuan Yang di-Pertua `a can of worms`. Malangnya bau busuk yang keluar terlekat juga kepada Raja-Raja lain. Bak kata pepatah Melayu kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit juga.

20. Kerana Raja Kelantan, adat resam dan ketakutan rakyat kepada undang-undang telah hilang. Maka apabila berlaku peristiwa Gomez, rakyat membuat teguran dan kritikan terhadap Raja-Raja dengan begitu lantang. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang percaya kepada kedaulatan undang- undang tidak dapat berdiam diri. Untuk memberi perlindungan kepada rakyat maka pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan seperti dalam Akta yang dibahaskan oleh Dewan ini pada 18 dan 19 Januari 1993.

Tuan Yang di-Pertua,

21. Sepatutnya Raja Kelantan sedar dan insaf akan hasil dan kesan penglibatannya dalam politik parti keluarganya.Tetapi nampaknya Raja Kelantan tidak sedar dan tidak insaf.

22. Dalam usahanya untuk menolak pindaan yang telah dipersetujui oleh Raja-Raja, Raja Kelantan telah antara lain mendakwa bahawa persidangan Dewan yang mulia ini semasa membahaskan Pindaan Perlembagaan pada 18 Januari 1993 adalah tidak sah. Raja Kelantan mendakwa pula bahawa persidangan ini pun tidak sah.

Tuan Yang di-Pertua,

23. Saya khuatir Raja Kelantan mungkin telah sekali lagi membuka, dengan izin, satu lagi `can of worms`. Apabila dakwaan dibuat oleh satu pihak terhadap pihak yang lain, pihak yang lain juga boleh melempar dakwaan yang sama.

24. Jika Dewan Yang Mulia ini didakwa tidak sah oleh Raja Kelantan, Dewan ini juga boleh mendakwa, dengan sebab-sebab yang berasas, bahawa mungkin perlantikan dan penabalan Raja Kelantan sekarang sebagai Sultan Negeri Kelantan tidak sah. Mungkin ada orang lain yang lebih berhak.

25. Jika dakwaan-dakwaan seperti ini mula dibuat, mungkin ia akan merebak dan berpanjangan dan lumpur akan terpalit pula kepada tubuh badan orang lain.

26. Kita tidak ada niat jahat terhadap Raja Kelantan.Tetapi gerak-geri Raja Kelantan dalam isu pindaan Perlembagaan ini amatlah tidak menyenangkan. Bukan sahaja Kerajaan Pusat tidak dihormati, tetapi Raja-Raja lain juga tidak dihormati.

27. Jika setelah bermesyuarat secara teratur, Majlis Raja- Raja tidak memegang kepada keputusan yang dibuat, siapakah yang akan menghormati mesyuarat Majlis Raja-Raja, atau Majlis itu atau Raja-Raja? Saya tidak ingin meramalkan kesan yang akan menyusuli kehilangan kepercayaan dan kehormatan kepada Majlis Raja-Raja dan institusi Raja kerana perbuatan Raja Kelantan.

Tuan Yang Di-Pertua,

28. Saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa Raja tidak pernah mengatasi undang-undang. Negara kita dibentuk mengikut satu Perlembagaan yang bertulis. Kita semua memegang jawatan masing-masing mengikut peruntukan ini, termasuklah Raja-Raja. Perlembagaan atau undang-undang tubuh atau undang-undang asas negara adalah undang-undang yang menentukan adanya Raja, adanya Yang di-Pertuan Agong, adanya Majlis Raja-Raja, adanya Jemaah Menteri dan sebagainya. Institusi-institusi ini dari awal lagi tidak wujud dengan sendirinya tetapi adalah hasil perjanjian di antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada satu kontrak sosial yang contohnya ialah perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba Trimurti Tribuana.

29. Apabila kita menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Raja-Raja telah secara rasmi menandatangani perjanjian Federation of Malaya dan menerima undang-undang asas, iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menentukan kedudukan, tempat dan peranan masing-masing.Penerimaan undang-undang ini bermakna semua pihak meletakkan diri mereka di bawah undang-undang. Soal Raja-Raja mengatasi undang-undang tidak wujud dan tidak pernah ada.

30. Hanya yang ada ialah Raja-Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah-mahkamah yang pada ketika itu diwujudkan oleh Perlembagaan. Tidak boleh dihadapkan ke mahkamah tidak bermakna dikecualikan daripada peruntukan undang-undang negara ini. Bahkan tidak boleh dihadapkan ke mahkamah juga merupakan satu undang-undang, dan di bawah undang-undang inilah maka Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika ini dianggap satu keistimewaan Raja-Raja, maka keistimewaan ini masih kekal dengan pindaan yang disyorkan oleh Majlis Raja-Raja.

31. Sekarang ini diperuntukkan satu badan khas untuk membicarakan Raja-Raja yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara. Mahkamah Khas yang ditubuhkan ini bukan untuk rakyat tetapi untuk Raja. Ini tidak melucutkan keistimewaan Raja daripada segi tidak boleh didakwa di mahkamah biasa, tetapi menambah keistimewaan itu dengan mewujudkan satu mahkamah yang khas bagi Raja.

32. Bagi rakyat, yang penting ialah mereka mendapat perlindungan undang-undang daripada sebarang penyalahgunaan kedudukan yang dilakukan oleh Raja. Bagi Raja, keistimewaan mereka dikekalkan. Bagi negara, konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen mendapat makna yang lebih tepat dan jelas.

Tuan Yang di-Pertua

33. Ada pihak yang cuba menggambarkan persetujuan Raja-Raja ini sebagai hasil daripada tekanan ala-Mac Michael. Pihak ini berasa kecewa kerana segala usaha dan nasihat mereka yang tidak baik tidak berhasil. Mereka ingin menggunakan isu ini sebagai isu politik. Mereka tidak sama sekali memikirkan tentang kepentingan rakyat yang perlu dilindungi daripada tindakan-tindakan yang salah oleh Raja. Saya yakin mereka akan menyebarkan dakwaan mereka kononnya Kerajaan ini bertindak seperti Mac Michael dengan membuat tekanan ke atas Raja sehingga mereka bersetuju. Kita berpendapat bahawa persetujuan ini adalah suatu kebaikan. Sama ada ia diperlukan oleh undang-undang ataupun tidak, terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukannya.

34. Saya harap mereka ini yang kecewa dalam politik, yang tidak ada tempat dalam politik negara akan berhenti daripada usaha yang tidak berfaedah ini dan sebaliknya bekerjasama dengan Kerajaan untuk membangunkan negara ini. Kalau sudah tidak laku, saya rasa tidak usahlah kita menjual lagi diri kita. Mereka ini takut hendak berhadapan dengan Parlimen apabila melihat mereka akan kalah. Sebab itu mereka tidak hadir pada kali ini. Dulu mereka hadir, tetapi kemudian telah keluar daripada Dewan. Tindakan mereka adalah cara orang pengecut, yang tahu akan kalah. Kita sepatutnya berani menghadapi lawan, dan kalau kalah, menerimanya. Dalam politik, kita tidak selalu boleh menang. Kalau semua orang selalu menang, tentulah susah. Dalam politik, bagaimana kita hendak membentuk Kerajaan jika kalau yang kalah pun menang, dan yang menang, menang?

35. Jadi saya harap mereka yang ingin terus dalam politik menerima hakikat bahawa kadangkala kita menang dan kadangkala kita kalah. Ini, bila menang, terima keputusan tetapi bila kalah enggan terima keputusan. Inilah yang menjadi masalah kepada kita.

36. Oleh kerana sebab-sebab ini saya menyokong pindaan yang disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja kepada Akta meminda Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 19 Januari 1993.

http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=857

Facebook Comments

Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]

Berkaitan

Baca Juga

[VIDEO] Rumput Stadium Bukit Jalil laku keras disimpan buat kenangan

Pengambilan ini terhad kepada empat petak rumput padang bagi setiap orang dalam ukuran 1 x 1 kaki dan orang awam diminta membawa bekas sendiri yang bersesuaian. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/163040

PKBM terima laporan gangguan seksual atlet berbasikal wanita

Kali terakhir kem berbasikal negara terpalit dengan isu gangguan seksual ialah pada tahun 1989 dan selepas itu kita sentiasa mengingatkan jurulatih dan pelumba basikal, supaya menjaga batasan masing-masing. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/163030

[VIDEO] Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak

Adalah tidak adil bagi bekas perdana menteri itu terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan dilakukan peguamnya dalam prosiding rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd. - Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah dan Sarawak BACA seterusnya di: https://pakdin.my/163020

[VIDEO] Kangar dilanda ribut, rumah dan gerai bazar Ramadan rosak

Tinjauan mendapati, banyak premis jualan makanan dan minuman serta premis menjual pakaian bagi menyambut Aidilfitri rosak selepas bumbung dan gerai mereka diterbangkan angin ribut. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/163010

Mahkamah jenayah Kuwait jatuhkan hukuman penjara 10 Tahun ke atas Jho Low

Pihak Pendakwa Raya juga mendakwa mereka sebagai “kumpulan penjenayah terancang" telah melakukan pengubahan wang haram dalam mata wang China, iaitu sebanyak 343 juta Renminbi (RM4.95 bilion), dan mengetahui bahawa dana itu adalah hasil daripada jenayah, kecurian wang dan pelaburan dana sovereign fund Malaysia. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162999

[VIDEO] Malaysia benam Hong Kong 2-0, tutup siri aksi persahabatan dengan bergaya

Ia kemenangan kedua skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon, dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 20-28 Mac selepas mengatasi Turkmenistan 1-0 di venue sama, Khamis lepas. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162987

[VIDEO] MINDEF terima 50 ambulans, perkasa tahap perkhidmatan Kor Kesihatan ATM

Penerimaan aset-aset berkenaan adalah amat penting untuk mutu perkhidmatan Kor Kesihatan ATM dapat dipertingkatkan agar hal ehwal anggota akan terus menjadi keutamaan. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162976

Isteri maut, suami kritikal keracunan makan ikan buntal

“Siasatan dibuat mendapati, ikan yang dipesan mereka datang daripada seorang nelayan di Endau, Mersing dan diproses oleh pengedar di Batu Pahat. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162963

[VIDEO] Pelukis pelan didakwa hantar komunikasi jelik

Muhammad Firdaus Embong, 39, selaku orang kena saman (OKS) didakwa menggunakan aplikasi Facebook 'Firdaus Embong' untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan teks yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162952

[VIDEO] Detik-detik kubah Masjid Tifatul runtuh ketika Salat Tarawih, 14 Jemaah cedera

Akibatnya, sekurang-kurangnya 14 mangsa dcedera dan 5 daripadanya dikejarkan ke hospital berhampiran, akibat kecederaan parah. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162939

[VIDEO] Mahkamah Rayuan benar permohonan Ahmad Zahid dapatkan pasport secara kekal

Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162928

[VIDEO] Pemilihan UMNO Bawa Gelombang Baharu, Bersama Rapatkan Saf Demi Pengukuhan – Zahid

Saya harus bersama-sama dengan mereka untuk membina kekuatan baharu dan merapatkan saf barisan kepimpinan di setiap peringkat,” katanya. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162918