Kes Liwat – Tangguh Lagi (update) - pakdin.my

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Permulaan kes pembelaan ditangguh lagi Isnin, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan bela diri pada 22 Ogos untuk menjawab tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan hari ini bagi membolehkan pihak pembelaan menemu bual enam lagi saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, bagaimanapun menjelaskan kepada pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan di kamarnya, apa jua keputusan daripada temu bual enam saksi berkenaan, perbicaraan akan diteruskan pada hari itu.

Peguam Anwar, S N Nair yang memohon penangguhan itu memberitahu mahkamah pihak pembelaan telah menemu bual 19 saksi yang berpotensi untuk dijadikan saksi dan mahu menemu bual enam lagi saksi yang bakal diuruskan.

Enam saksi itu termasuk bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan dua amah warganegara Indonesia.

Nair juga memberitahu mahkamah pihak pembelaan telah menyerahkan senarai saksi yang dicadangkan untuk dipanggil. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan saksi yang akan dipanggil.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu mahkamah mereka akan membantu pihak pembelaan untuk menemu bual saksi selebihnya pada minggu ini.

Pada 8 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemu bual saksi antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Musa.

Jumaat lepas, Najib dan Rosmah hadir di mahkamah untuk ditemu bual. Mereka masing-masing meluangkan masa kira-kira lima minit dalam bilik mesyuarat dengan kehadiran peguam Karpal Singh dan Nair serta Anwar.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

Berita terdahulu:

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menangguhkan pembelaan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga minggu hadapan ekoran terdapat enam lagi saksi perlu ditemubual.

Berita selanjutnya selepas ini.

UTAMABERITAKes Liwat - Tangguh Lagi (update)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium