Bila tikus menang pilihan raya - pakdin.my

MINGGU lalu ada dua kenyataan daripada kerajaan yang sangat mengejutkan masyarakat dan menimbulkan kecurigaan sejauh mana kerajaan ini mempunyai kemampuan menguruskan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Pertama ialah kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pegawai khasnya, Tony Pua, yang membatalkan kontrak MMC-Gamuda bagi kerja-kerja pembinaan laluan bawah tanah projek Mass Rapid Transit (MRT) 2.

Marah kerana MMC-Gamuda tidak mahu mengikut kehendak Kementerian Kewangan, kerajaan mengumumkan untuk membuka tender antarabangsa bagi pembinaan ini laluan bawah tanah ini.

Tony Pua turut menulis panjang lebar menyalahkan MMC-Gamuda kerana tidak lagi mahu berunding menurunkan kos membina laluan bawah tanah untuk MRT2.  Beliau turut menyalahkan MMC-Gamuda kerana tidak mahu berkongsi data mengenai projek dengan pihak konsultan yang dilantik bagi mengesahkan kos sebenar kontrak.

Menurut Tony, perunding beliau mendakwa projek tersebut boleh dikurangkan kos sehingga sekitar RM4.1 bilion. Ini sesuatu yang sangat luar biasa kerana projek ini melalui tender antarabangsa dan MMC-Gamuda antara peneraju kerja-kerja pembinaan laluan bawah tanah termasuk Smart Tunnel.

Justeru kita tertanya-tanya siapa pula perunding beliau yang “super hebat” tersebut melangkaui syarikat-syarikat antarabangsa lain? Kita juga tertanya-tanya apa keperluan kerajaan hendak buat tender terbuka lagi bagi projek yang sedang berjalan dan telah melalui proses tersebut?

Oleh sebab MMC-Gamuda menang tender terbuka bermakna data dan butiran projek sememangnya ada pada kerajaan. Jadi tiada sebab untuk kerajaan mendakwa MMC-Gamuda tidak bekerjasama memberi data yang diperlukan untuk kiraan kos. Kita khuatir ini hanya agenda pihak ketiga untuk mendapatkan maklumat-maklumat sulit bagi memudahkan pihak lain melaksanakannya.

Naratif kerajaan untuk menjimatkan wang rakyat memang sedap didengar kepada masyarakat biasa. Namun apakah ia lunak juga dalam kalangan pelabur dan peniaga jika kerajaan boleh sesuka hati melakukan kajian atas projek yang telah melalui tender antarabangsa dan sedang berjalan baik?

Pada hemat saya adalah sukar untuk kerajaan membatalkan kontrak ini. Ia akan berhadapan dengan saman sivil dan pelbagai implikasi lain. Pada akhirnya MMC-Gamuda akan mendapat juga kontrak ini, namun ada sandiwara belakang tabir yang tidak telus bagi menjaga air muka kerajaan dan lebih merugikan rakyat pada masa depan.

Perkara kedua yang sangat membimbangkan ialah kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto Pakatan Harapan yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 merupakan beban kepada kerajaan hari ini.

Menurut Mahathir, manifesto setebal 195 halaman itu dibuat tanpa memikirkan bahawa mereka akan menjadi kerajaan.

Kata Mahathir, “Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar.”

Majoriti rakyat yang mengundi Pakatan Harapan tempoh hari ialah kerana janji-janji ini terutamanya membabitkan penghapusan tol, pengurangan harga petrol, penurunan harga barang, penurunan kos sara hidup, penghapusan GST, mengekalkan BR1M dan pendidikan percuma.

Kerajaan menghapuskan GST tetapi menggantikan dengan SST yang hampir sama dengan GST adalah tindakan bermain persepsi, bukannya menunai janji. Malah ada barangan yang sebelum ini hanya dikenakan cukai 6% tetapi kini dikenakan 10%.

Harga petrol tidak diturunkan walau sepuluh sen. Pendidikan universiti masih berteraskan pinjaman PTPTN dan kos sara hidup dan harga barang tidak langsung turun. BR1M bukan sahaja ditukar nama, malah jumlah penerima telah dikurangkan dan jumlah bayaran juga dikurangkan. Perdana Menteri juga menyatakan kerajaan akan beransur-ansur menghapuskan skim ini. Ini bertentangan dengan manifesto mereka.

Terbaru, Mahathir mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto Harapan. Malah, katanya, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dengan mengakui sebahagian besar manifesto ditulis dalam keadaan sedar ia tidak dapat dilaksanakan, maka kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu adalah melalui cara tidak sah dan menipu pengundi.

Jika Pakatan masih ada maruah dan harga diri mereka perlu mendapat mandat baharu daripada rakyat dengan manifesto yang boleh dilaksanakan.

Tampak seperti rakyat pada 9 Mei 2018 telah memberi mandat kepada tikus bagi membaiki labu. Terdapat serangkap pantun nakal yang tersebar di media sosial sejak seminggu ini:

Sudah gaharu
Cendana pula
Dapat yang baharu
Penipu pula

Ab Jalil Backer

UTAMAPOLITIKBila tikus menang pilihan raya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium