Pengimarahan Masjid Satu Fenomena Pada Bulan Ramadan - pakdin.my

Sepetang Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam, terlihat dimensi baru fungsi masjid dalam pengukuhan institusi sosial.

Seawal jam 5 petang, ribuan warga Shah Alam berduyun-duyun memenuhi ruang legar di tingkat bawah masjid dan kelihatan ramai yang melakukan aktiviti ibadah demi mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Pembacaan kitab suci Al-Quran adalah aktiviti paling popular di sini, ada yang berzikir, tidak kurang juga mereka yang solat sunat dan diskusi ilmiah dalam konsep ‘usrah’.

Warga kolar putih turut tidak melupakan tanggungjawab seharian menggunakan komputer riba masing-masing melalui kemudahan ‘Wi-Fi’ percuma yang disediakan.

Kepelbagaian bangsa juga terjelma di sini, tinjauan Bernama mendapati walaupun majoritinya masyarakat Melayu, terdapat juga Muslim dari China, Indonesia, Eropah, Arab, dan tidak ketinggalan masyarakat Cina dan India tempatan.

Semua ini menjadikan setiap saat yang diluangkan di sini ibarat membawa diri ke satu dimensi lain. Tanpa hiruk-pikuk kesibukan hidup, ucapan ‘Assalamualaikum’ diterima tidak putus-putus serta senyuman mesra sesama pengunjung pastinya mendamaikan mana-mana jiwa sekali pun.

JEMPUTAN UNTUK SEMUA

Imam Besar MSSAAS, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri berkata, program berbuka puasa di sini bermula sejak 1990. Selain santapan berbuka, juadah moreh dan sahur turut disediakan pihak masjid yang mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri setiap tahun.

“Aktiviti ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak kira dari apa latar belakang sekali pun, ke arah pengimarahan masjid pada bulan Ramadan yang mulia ini,” kata beliau.

Setiap hari, 1,000 pek makanan berbuka puasa, 800 pek moreh dan 500 pek juadah sahur diedarkan kepada pengunjung masjid. Ada kalanya jumlah ini tidak mencukupi akibat kehadiran jemaah yang sangat menggalakkan.

PEMBINAAN SAHSIAH KELUARGA

Seorang peniaga, Rosli Mohamad, 47, ketika ditemui berpendapat penggunaan masa dapat dilaksanakan dengan cekap untuk beribadah apabila berbuka puasa di masjid berbanding di rumah.

Beliau memanfaatkan bulan Ramadan sebagai medan mendidik keluarganya agar dekat kepada masjid dengan membawa mereka bersama untuk berbuka puasa di sini

“Di rumah, risiko untuk leka daripada beribadah adalah tinggi. Perkara-perkara remeh seperti mencuci pinggan mangkuk dan berehat selepas berbuka boleh mendorong perkara ini berlaku.”

“Di sini (masjid), faktor penggunaan masa yang cekap menjadikan para jemaah lebih berdisiplin. Dengan mengurangkan masa untuk makan, jemaah lebih terarah untuk melakukan ibadah secara berjemaah,” kata beliau.

Beliau turut berkata bahawa pendekatan ini dapat juga mendidik anak-anaknya untuk membudayakan pengimarahan masjid serta membuka mata mereka mengenai tuntutan dan keperluan sebagai seorang Muslim.

Anak lelaki beliau, Muhd Syafiq Rosli, 12, menyatakan kegembiraan beliau terhadap inisiatif yang diambil bapanya.

“Seronok datang ke sini, ada ramai orang. Saya mahu datang lagi,” katanya, pendek.

SEPERTI DI MASJIDIL HARAM

Seorang usahawan, Abdul Rahman Desa, 60, berkata, suasana kemeriahan ketika berbuka puasa berjemaah di sini saling tidak tumpah seperti berada di Masjidil Haram di Mekah atau di Masjid Nabawi di Madinah.

Inilah tahun pertama beliau menyambut Ramadan di Malaysia kerana tidak pernah ketinggalan menyambutnya di Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi setiap tahun sejak 29 tahun lepas.

“Ini jauh lebih baik daripada berbuka di hotel-hotel, saya jatuh hati kepada suasana di sini,” katanya sambil memandang lautan manusia bersiap menunggu seruan azan.

“Di sana (Arab Saudi), ahli-ahli perniagaan berduyun-duyun menyumbang untuk aktiviti masjid, khususnya berbuka puasa secara berjemaah. Ini patut menjadi ikutan ahli-ahli perniagaan di sini juga,” tambah beliau.

JAMBATAN PENGHUBUNG MASYARAKAT

“Ini hari pertama saya ke sini pada tahun ini,” kata Che Suhzaly Che Semaun, 26, ketika ditemui Bernama.

Beliau, yang bekerja dalam industri minyak dan gas berkata, dengan ke masjid memberi peluang kepada semua untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira darjat.

“Jika makan di luar, peluang untuk bertegur sapa dengan masyarakat umum adalah sangat sedikit. Di sini, peluang itu terbentang luas,” katanya yang setia datang ke sini pada Ramadan tahun-tahun lepas.

Bagi bapa kepada 7 anak ini pula, Abdul Razak Rasyid, 55, perjalanan beliau dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengunjungi anak-anak yang tinggal di Lembah Klang nyata tidak sia-sia.

“Mereka (anak-anak) membawa saya ke sini untuk berbuka walaupun kami membeli makanan sendiri. Sungguh saya tidak sangka suasananya semeriah ini!” katanya dengan gembira.

KEMUDAHAN BERIBADAH DIPERTINGKAT

Ustaz Ahmad berkata, pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, masjid adalah pusat sehenti untuk setiap aktiviti masyarakat, justeru pihaknya berusaha memberi segala yang terbaik untuk merealisasikan perkara ini.

“Selain penyediaan makanan untuk berbuka puasa, moreh dan sahur, kami menyediakan beberapa kemudahan lain, semata-mata untuk memberi keselesaan beribadah kepada jemaah,” kata beliau.

Beliau menambah, sejak tiga tahun lepas pihak masjid menerima kanak-kanak berumur 2 bulan ke atas untuk dijaga oleh pekerja terlatih dengan percuma setiap malam pada bulan Ramadan agar ibu bapa tidak ketinggalan peluang untuk beribadah pada bulan yang mulia ini.

Aktiviti i’tikaf (tinggal di masjid) juga amat digalakkan pada bulan yang mulia ini, di mana pihak masjid menyiapkan kemudahan khusus.

“Kami menyediakan ruangan bertutup yang boleh memuatkan kira-kira 150 orang berasingan untuk lelaki dan wanita. Di sini para jemaah boleh meletakkan barangan mereka dengan selamat kerana dipantau oleh pihak keselamatan masjid,” kata Ustaz Ahmad.

REBUT PELUANG KEEMASAN

Ustaz Ahmad berkata, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, pihak masjid berharap para jemaah dapat memberikan komitmen untuk menjayakan setiap aktiviti yang dilaksanakan.

“Bagi pihak masjid, tiada apa yang kami harapkan melainkan jemaah dapat beribadah dengan selesa dan mengambil tanggungjawab untuk memelihara kesucian, kebersihan masjid,” tambah beliau.

Nasihat beliau agar para jemaah dapat sentiasa menjaga kebersihan dan disiplin diri apabila berada di masjid, agar keselesaan yang dinikmati dapat dirasai bersama.

“Ketika makan, pastikan tiada kotoran yang ditinggalkan dan ketika tidur di masjid, pastikan beralas dengan kain, tikar atau lain-lain untuk mengelakkan permaidani masjid menjadi kotor,”katanya.

“Apabila berada di masjid, usahakan untuk mengikuti aktiviti ibadah yang dijalankan, khususnya solat berjemaah. Rebutlah peluang untuk melaksanakan ibadah sebanyak mungkin pada bulan yang mulia ini,” tambah beliau.

Semoga usaha murni MSSAAS menjadi contoh kepada masjid lain di seluruh negara dan memartabatkan institusi masjid di mata masyarakat.

UTAMAPOLITIKPengimarahan Masjid Satu Fenomena Pada Bulan Ramadan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium