Umno Selangor Bidas Tindakan Abdul Khalid Berhubung Isu Majlis Syura - pakdin.my

Umno Selangor membidas tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan terus berdegil terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja di Petaling Jaya pada 3 Ogos lepas.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata tindakan kerajaan negeri Selangor semalam yang menukar nama Majlis Penasihat Syura kepada Gerak Kerja Pendengaran selepas teguran dibuat Sultan Sharafuddin tidak membawa sebarang makna.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan negeri yang menukar nama jawatankuasa itu hanyalah helah Abdul Khalid untuk mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar.

“Majlis Syura adalah majlis perundingan dan (Gerak Kerja) Pendengaran pula, kalau fungsinya macam tribunal, ahli jawatankuasanya hanya duduk mendengar. Ia tidak akan menyelesaikan masalah.

“Sebab itu Tuanku tidak pernah berkenan dengan penubuhan majlis itu atau majlis dialog berkaitan agama kerana Selangor sudah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jais dan Jabatan Mufti Negeri Selangor,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini hari Rabu.

Mohd Zin yang juga Anggota Parlimen Sepang berkata, apa yang perlu diperjelaskan kepada rakyat ialah sama ada pemeriksaan JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atau sebaliknya.

Beliau berkata hasil siasatan terhadap tindakan JAIS itu perlu diumumkan seperti dijanjikan Menteri Besar sebelum ini.

Semalam, Sultan Selangor bertitah, kenyataan Abdul Khalid bahawa baginda menitahkan atau mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan JAIS di DUMC adalah sama sekali tidak benar.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

UTAMABERITAUmno Selangor Bidas Tindakan Abdul Khalid Berhubung Isu Majlis Syura

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium