Demokrasi Sentiasa Diperjuangkan Di Malaysia – Najib - pakdin.my

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited kepada sistem demokrasi dan tidak akan bertolak ansur dengan anarki, keadaan huru-hara serta sebarang gangguan terhadap ketenteraman di negara ini.

Bercakap pada majlis berbuka puasa bersama diplomat dan kakitangan Kementerian Luar di sini, Perdana Menteri berkata undang-undang ketenteraman awam tidak boleh dipandang mudah seperti yang terbukti dalam beberapa insiden yang berlaku di seluruh dunia.

“Kita sentiasa memperjuangkan demokrasi di Malaysia sejak awal lagi, dan jika kita imbas kembali, terdapat satu detik penting dalam sejarah negara, iaitu pada 13 Mei (1969), yang menyaksikan Allahyarham ayahanda saya menyerahkan semua kuasa kepada seorang individu.

“Kuasa eksekutif, perundangan, kabinet serta Parlimen, hanya beliau yang boleh memutuskannya. Beliau memutuskan jika hari ini merupakan perundangan, esok ia akan menjadi undang-undang, dan pada ketika itu, saya hanya seorang budak sekolah.

“Allahyarham memberitahu saya beliau takutkan semua kuasa itu, dan saya rasa ia sesuatu yang agak luar biasa. Ketika itu, menyerahkan kuasa bukanlah satu perkara yang bergaya.

“Apa yang lebih bergaya ialah mengumpulkan kuasa, namun, memang benar apa yang Allahyarham beritahu saya, beliau telah mengembalikan kuasa kepada rakyat dan Parlimen iaitu pada sekitar 1970-an.

“Itu yang berlaku di Malaysia dan hari ini, jangan keliru jika ada sesiapa berkata sebaliknya. Ini merupakan perjuangan kita, dan di landasan inilah anda akan meneruskannya.

“Kita mengkaji semula banyak perkara seperti undang-undang penapisan, dan kita beri ruang untuk mendengar pendapat berbeza, namun kita tidak akan bertolak ansur dengan anarki,” katanya.

Najib berkata tidak ada sesiapa yang boleh membayangkan insiden seperti rusuhan boleh berlaku di London.

“Saya tidak mengatakan semuanya sempurna di Malaysia. Perjalanan kita masih jauh, namun kita masih berusaha ke arah itu.

“Bagaimanapun, kita mesti serius dalam tugas dan komitmen kepada Malaysia kerana kita ada misi besar untuk melakukan transformasi, dan kita hanya boleh melakukannya jika kita benar-benar komited.

“Tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Kita hanya akan berjaya jika kita melakukannya dengan sepenuh jiwa raga, dan saya boleh memberi jaminan bahawa kami sememangnya komited,” katanya.

UTAMABERITADemokrasi Sentiasa Diperjuangkan Di Malaysia - Najib

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium