Usah Lupakan Kampung Halaman Walau Sejauh Mana Kemodenan Dilalui – Najib - pakdin.my

Dalam Malaysia bergerak ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, rakyatnya tidak seharusnya melupakan kampung kampung halaman sendiri, walau sejauh mana kemodenan yang telah dilalui, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi posting terbaru beliau dalam blog 1Malaysia ketika berjuta-juta rakyat Malaysia ‘berhijrah’ balik kampung untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata fenomena ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia akan tetap kembali ke kampung halaman masing-masing biarpun sudah mempunyai kehidupan yang selesa di bandar.

“Walaupun ramai antara generasi baru kita yang telah dilahirkan dan dibesarkan di bandar, konsep balik kampung sudah terlalu mantap dalam budaya kita sehinggakan generasi ini turut menerimanya sebahagai sebahagian daripada cara hidup mereka,” katanya.

Dalam posting bertajuk ‘Balik Kampung’, Najib mendoakan agar semua rakyat Malaysia selamat dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk merayakan Aidilfitri, dan kepada rakyat Malaysia bukan beragama Islam pula, mereka diharap dapat turut bersama rakan-rakan beragama Islam dalam menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa ada juga yang sudah menganggap bandar itu sebagai kampung halaman mereka kerana tidak lagi mempunyai kampung.

Najib berkata keadaan ini semakin jelas di Kuala Lumpur, yang pada dahulunya pada sekitar tahun 80-an, akan menjadi sebuah bandar raya yang sunyi sepi pada musim Hari Raya. “Kini Kuala Lumpur menjadi kampung halaman mereka,” katanya.

“Bagi saya dan keluarga pula, seperti tahun-tahun lepas, kami akan berada di Putrajaya dan Kuala Lumpur, pada beberapa hari pertama Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, saya amat berterima kasih kerana mempunyai banyak sebab dan peluang untuk balik ke kampung halaman saya di Pekan sepanjang tahun dan bukan untuk Hari Raya Aidilfitri sahaja,” kata Najib.

Beliau berkata pada masa yang sama, kawasan kampung ini sedang mengalami satu perubahan sosio-ekonomi, di mana pada Oktober tahun lepas, kerajaan melancarkan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dan penduduk kampung serta mentransformasikan kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negara.

“Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan peluang ekonomi dan keusahawanan bagi rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar, tanpa mengorbankan alam sekitar dan tradisi serta budaya yang dinilai tinggi yang berpunca dari persekitaran ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun sudah semakin banyak kawasan luar bandar yang telah mengalami transformasi dan pembangunan, konotasi unik pada konsep ‘kampung’ ini kekal menjadi elemen yang penting dalam budaya dan ekonomi negara.

Najib memberi contoh industri kampung dengan peranannya menghasilkan produk tempatan seperti batik dan kraftangan serta produk makanan seperti dodol dan keropok.

“Kini, produk-produk tersebut sudah tidak semestinya dibuat dalam keadaan kampung yang tradisional seperti dahulu lagi. Kini kebanyakan industri ini diusahakan di bengkel-bengkel dan kilang-kilang perindustrian kecil yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

“Walaupun begitu, produk-produk ini tetap mempunyai daya tarikannya yang tersendiri yang dikaitkan dengan gaya hidup kampung dan akan terus dihasilkan dalam lingkungan dan struktur kampung yang kita kenali,” kata Najib.

Merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Razak Hussein, beliau berkata: “Arwah ayahanda saya telah bergiat memperjuangkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar, khususnya sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.”

Najib berkata di bawah pimpinan Allahyarham Tun Razak, jalan dan jambatan telah dibina untuk memperbaiki hubungan darat; sekolah, klinik dan dewan komuniti dibina; jaringan bekalan air dan elektrik diluaskan; dan proses pertanian moden telah diperkenalkan.

Beliau berkata pada hari ini, program seperti Karnival Usahawan Desa yang diadakan setiap tahun menyambung usaha untuk menaik taraf kedudukan ekonomi usahawan desa melalui bantuan dan nasihat agar mereka dapat merealisasikan potensi pasaran produk mereka, termasuk ke pasaran luar negara.

UTAMABERITAUsah Lupakan Kampung Halaman Walau Sejauh Mana Kemodenan Dilalui - Najib

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium