Bekas Polis Bantah Kenyataan Mat Sabu - pakdin.my

Persatuan Bekas Anggota Polis Negeri Terengganu yang mempunyai 4,500 anggota hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dianggap keterlaluan hingga sanggup menghina polis demi mencari populariti.

Pengerusinya Hussin Awang Ngah berkata tindakan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekaligus menunjukkan beliau telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

“Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua PAS itu baru menimbulkan perkara tersebut dan tidak membangkitkannya selama ini.

“Saya percaya, tujuannya tiada lain kerana beliau nak mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari Ahad.

Kata Hussin, beliau sedih dengan pendirian Mat Sabu yang sanggup memainkan apa jua isu asalkan dirinya mendapat sokongan dalam kalangan penyokongnya.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, Mat Sabu dilaporkan berkata pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Di SELANGOR, 19 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis secara berasingan terhadap Mat Sabu, iaitu 10 laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, tujuh di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam dan dua di IPD Klang Selatan, Klang.

Wakil barisan NGO berkenaan, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Mat Sabu telah menyeleweng fakta sejarah, memfitnah pahlawan negara dan menyokong perjuangan komunis.

Beliau menyifatkan kenyataan Mat Sabu itu sebagai cubaan menghasut rakyat dengan menanam dan menghidupkan semula semangat komunis di negara ini.

Hamidzun berkata mereka turut meminta supaya pemimpin PAS itu disiasat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan 1948.

Umno Bahagian Shah Alam turut membuat laporan polis berhubung isu sama di IPD Shah Alam.

Di GEORGE TOWN, Umno Bahagian Tanjong membuat laporan polis berhubung kenyataan Mat Sabu yang didakwa telah memutarbelitkan fakta kemerdekaan selain mengakui komunis adalah pejuang kemerdekaan.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Umno bahagian itu Raja Munir Shah Raja Mustapha di Balai Polis Bayan Baru kira-kira pukul 3.30 petang.

“Kenyataan itu bercanggah dengan fakta sejarah negara, Mohamad Sabu tidak seharusnya mempolitikkan perjuangan yang melibatkan kemerdekaan negara. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak sensitif dengan isu berkaitan kemerdekaan tanah air,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Raja Munir menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak ada lagi pihak lain yang cuba menggunakan isu kemerdekaan negara demi kepentingan peribadi.

Sementara itu, dua lagi laporan polis dibuat terhadap Mat Sabu oleh Pertubuhan Pembangunan Kaum India (PIDO) dan Persatuan Kemajuan Insan Malaysia (Kesan) berhubung tuntutan caj rawatan hospitalnya yang berjumlah lebih RM8,000 daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).

Beliau didakwa menyalahguna kedudukannya sebagai Ahli lembaga Pengarah perbadanan itu apabila membuat tuntutan berkenaan.

Mat Sabu didakwa menerima rawatan daripada sebuah hospital swasta di Selangor akibat kecederaan ketika terlibat dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas dan diberi bayaran balik perbelanjaan perubatan daripada PBAPP baru-baru ini.

Kenyataan Mohamad Sabu Khianati Pejuang Bangsa, Negara – Muhyiddin »

UTAMABERITABekas Polis Bantah Kenyataan Mat Sabu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium