Anggota Media Mahu Sertai Lagi Misi Kemanusiaan - pakdin.my

PETALING JAYA, 4 Sept (Bernama) — Kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor tidak mematahkan semangat pasukan wartawan Malaysia, yang menyertai misi kemanusiaan ke Somalia.

Malah mereka bersedia untuk terus membuat liputan ke kawasan zon konflik di masa akan datang.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin berkata beliau bersedia membuat lagi liputan di kawasan-kawasan berbahaya pada masa datang.

“Orang kata ajal di tangan Tuhan. Bila sampai masa untuk pergi kita akan pergi. Tetapi sebagai wartawan, jika diberi peluang buat liputan tentang kesengsaraan manusia, kenapa tidak,” katanya kepada wartawan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sebaik tiba dari Mogadishu.

Noramfaizul terkorban akibat terkena tembakan curi di Mogadishu pada Jumaat lepas.

Bagi jurugambar Bernama, Mahayudin Mohamad, misi bantuan kemanusiaan ke Somalia kali ini merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam kerjayanya apabila terpaksa mengambil gambar rakan seperjuangannya yang meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

“Saya berasa sangat sebak apabila diminta ketua pasukan perubatan Datuk Dr Alwi Rahman mengambil gambar arwah,” katanya.

Wartawan NTV7 Melissa Ong pula berkata pengalaman dalam misi bantuan kemanusiaan ke Somalia kali ini telah menyuntik semangat kepada beliau untuk terus hidup pada keadaan yang lebih baik.

“Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia ini telah memberi peluang kepada saya untuk menyaksikan sendiri kesusahan dan keperitan dialami rakyat Somalia. Mereka menadah tangan memohon makanan dan keadaan kesihatan mereka teruk. Mereka betul-betul memerlukan pertolongan.

Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia berlepas ke Mogadishu pada 28 Ogos lepas.

UTAMABERITAAnggota Media Mahu Sertai Lagi Misi Kemanusiaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium