Pakatan Rakyat Bertemu Rabu Ini Bincang Hal Hudud, Nik Aziz Mahu Pinda Undang2 Syariah Negeri - pakdin.my

Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat – PKR-DAP-PAS akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan rancangan PAS melaksanakan hukum Hudud, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Ismail Nasution.

Beliau berkata, isu berkenaan akan dibincangkan di kalangan pemimpin pembangkang itu pada mesyuarat bulanan mereka di Ibu Pejabat PAS di sini yang dijadualkan bermula pukul 8 malam.

“Mesyuarat itu pada mulanya untuk membincangkan Bajet Pakatan 2012, tetapi oleh kerana ada isu lain yang perlu diberi tumpuan, adalah wajar bagi pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkannya pada mesyuarat tersebut,” kata beliau kepada Bernama. Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas desakan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh pada Sabtu lepas supaya parti-parti pembangkang mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan soal rancangan PAS melaksanakan hukum hudud.

Karpal berkata, DAP akan sentiasa menentang pembentukan sebuah negara Islam dan oleh kerana itu sekretariat parti pakatan hendaklah mengatur satu mesyuarat segera untuk membincangkan isu tersebut. Pada masa sama, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengulangi kenyataan Karpal Singh bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

“Pendirian kami jelas, kami tidak menerima hudud ataupun sebuah negara Islam,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, di sini.

Lim berkata, melaksanakan hukum hudud atau sebuah negara Islam tidak pernah disebut dalam Buku Jingga Pakatan dan ketiga-tiga parti hanya bersetuju menyatukan rakyat Malaysia di bawah prinsip bersama yang antara lain bagi tujuan kebebasan, keadilan dan demokrasi.

“Jika anda berkata sebarang perkataan dalam prinsip bersama dalam Buku Jingga itu menyebut tentang hudud atau negara Islam, saya fikir bukan sahaja saya tetapi semua anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan meletakkan jawatan.

“Kami adalah parti yang berprinsip dan pemimpin berpegang pada prinsip, jadi tidak ada jalan bagi pemimpin yang berkata selepas memegang tampuk kuasa di Putrajaya akan melaksanakan hudud dan menubuhkan kerajaan Islam. Tidak mungkin kerana ia bukanlah dalam rangka dasar bersama,” katanya.

Sementara itu di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan PAS Kelantan akan tetap memastikan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu melalui sistem perundangan Mahkamah Syariahnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri itu sedang menggubal Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud).

“Usaha kami ialah mahu memasukkan enakmen hudud ini dalam Mahkamah Syariah Kelantan dan kami orang politik mahu membawa usaha ini ke arah itu (sehingga terlaksana).

“Apabila siap ia boleh dijadikan panduan oleh hakim-hakim (Mahkamah Syariah)dan hakim ini tahu bagaimana melaksanakannya. Hukum hudud ini sebenarnya tidak zalim kerana ia lebih berbentuk pengajaran dan berperikemanusiaan,” kata Nik Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2011 di pekarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.

Mursyidul Am PAS itu bagaimanapun tidak menetapkan bila pelaksanaan hukum hudud itu akan mula dilaksanakan di semua Mahkamah Syariah negeri itu.

Nik Aziz berkata, beliau rela DAP meninggalkan gabungan atau pakatan pembangkang jika tidak bersetuju dengan perkara itu.

Menteri Besar Kelantan itu turut memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat pakatan pada Rabu ini kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

****

Sokong 100% Nik Aziz nak gubal Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) dan sepatutnya telah lama digubal oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Harap siapkan cepat jangan tangguh dan buat cerita lain. Bila dekat PRU baru timbul balik cerita dan baru nak buat deraf semuala.

UTAMABERITAPakatan Rakyat Bertemu Rabu Ini Bincang Hal Hudud, Nik Aziz Mahu Pinda...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium