Kes SRC: Saksi sangsi terhadap gerak geri Jho Low - pakdin.my

Saksi ke-54, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah, beliau  pernah berasa sangsi terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-47 hari ini.

Joanna yang juga merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank dan pernah terlibat dengan akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak mengakui dirinya mula mengesyaki Jho Low antara penghujung 2014 dan tahun 2015.

Kata Joanna, ada kalanya Jho Low yang bertindak sebagai pengantara Najib dengan pegawai bank itu akan membuat arahan transaksi bagi penggunaan kad kredit bekas perdana menteri itu.

Namun, Joanna mengakui mengesyaki ada masanya Jho Low sebenarnya mungkin tidak berkomunikasi dengan Najib ketika mengeluarkan arahan-arahan tertentu walaupun secara luarnya mengakui mendapat arahan daripada bekas perdana menteri.

Dia berkata demikian ketika peguam bela, Harvinderjit Singh menyoal balas berhubung perbualan menerusi log perbualan antara Joanna dengan Jho Low dalam Blackberry Messenger (BBM) yang telah di rampas ketika serbuan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

Harvinderjit: Adakah anda bersetuju ketika kamu berhubung dengan Jho Low, kamu ada syak bahawa dia sebenarnya tidaklah berkomunikasi dengan pemegang akaun dan kamu akan melaporkannya kepada bank?

Joanna: Saya akan memberitahu perkara tersebut kepada bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang.

Harvinderjit: Anda tidak syak apa-apa sehingga tahun 2014 dan 2015?

Joanna: Apabila Jho Low kata hendak tutup akuan bank.

Harvinderjit: Semua maklumat-maklumat ini, adakah untuk memberi keyakinan kamu terhadapnya?

Joanna: Encik Cheah selalunya akan semak kerana berkomunikasi dengan Jho Low.

Harvinderjit: Bukan itu soalnya, soalnya Jho Low juga berkomunikasi dengan kamu.

Joanna: Betul, rasanya.

Joanna memberitahu kepada mahkamah bagaimana dia pernah menyoal Jho Low berhubung mesej yang didakwa daripada Najib yang beliau ketika itu sedang bercuti dan mahu beberapa transaksi di lakukan.

Dalam log perbualan BBM itu, ada juga mesej di mana Jho Low menggunakan nama ‘boss’ sambil membuat arahan kononnya datang daripada Najib.

Sebelum ini, Cheah Tek Kuang yang pernah di panggil sebagai saksi perbicaraan yang ke-50 pernah mendedahkan Jho Low merupakan seorang individu yang langsung tidak boleh dipercayai.

Najib ketika ini sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung esok dengan Harvinderjit telah memohon lebihan masa lagi untuk menyoal balas Joana berkisarkan perbualan BBM dengan Jho Low. 

UTAMABERITAKes SRC: Saksi sangsi terhadap gerak geri Jho Low

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium