Lelaki disyaki cuba bakar masjid ditahan | PakDin.my - pakdin.my

ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran permaidani di dua buah masjid dekat daerah Pendang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di sini selepas tujuh jam kejadian itu.

Suspek ditahan selepas dipercayai membakar permaidani di ruang solat Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang kira-kira jaml 5 pagi.

Mengulas lanjut, Arriz Sham berkata, kejadian hanya disedari Imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahya,33, kira-kira jam 5.30 pagi sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

“Pengadu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Arriz berkata pihaknya turut menerima laporan daripada jemaah Masjid Pendang yang memaklumkan melihat permaidani di pintu tepi masjid terbakar jam 5.15 pagi dan menghubungi Bomba untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kebakaran di kedua-dua Masjid Pendang dan Kampung Rambai terlebih dahulu dipadamkan oleh ahli kariah masjid sebelum pihak Bomba datang membantu.

“Kita dapati terdapat kesan terbakar pada permaidani di pintu hadapan Masjid Kampung Rambai dan kesan bakar pada permaidani di pintu tepi Masjid Pendang,” katanya.

Pihaknya sukar mengenal pasti pelaku berikutan kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Pendang tidak berfungsi manakala tiada CCTV di Masjid Kampung Rambai,” katanya.

Katanya, terdapat juga seorang saksi yang menyedari dua lelaki menaiki motosikal memasuki persekitaran masjid namun tidak dapat mengecam individu terbabit.

Beliau berkata, anggota forensik turut dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

Berita berkaitan:
Dua masjid di Pendang terbakar, dipercayai angkara khianat
https://pakdin.my/dua-masjid-di-pendang-terbakar-dipercayai-angkara-khianat/

UTAMABERITALelaki disyaki cuba bakar masjid ditahan | PakDin.my

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium